PETALING JAYA – Selepas cermin kereta dan tingkap rumah dipecahkan, tiga buah kenderaan milik Cikgu Chandra pula dibakar awal pagi tadi.
Menurut perkongsian pendakwah bebas, Firdaus Wong Wai Hung di Threads, kejadian itu berlaku pada kira-kira pukul 3 pagi tadi.
“Petang tadi tiga buah kereta dengan beberapa lelaki memakai topeng penuh dan bersenjatakan parang cuba membunuh Cikgu Chandra.
“Awal pagi tadi dalam pukul 3 lebih, mereka membakar ketiga-tiga buah kereta Cikgu Chandra,” katanya dalam hantaran tersebut.
Tindakan ini dipercayai perbuatan khianat daripada ekstrimis susulan kejadian memecahkan cermin kereta dan tingkap rumahnya di Puchong serta mencuba untuk pecah masuk ke dalam rumah mangsa sebelum ini.
Menerusi rakaman video yang dikongsi, api dilihat marak memusnahkan kenderaan di kawasan kediaman mangsa hingga hangus sebelum pihak berkuasa berjaya mengawal keadaan tersebut.
Firdaus dalam hantaran sama turut menggesa pihak berkuasa untuk bertindak pantas bagi membendung ekstrimis daripada terus menganggu keharmonian negara.
“Kita tidak boleh biarkan pelampau begini berleluasa. Hukum penghasut dan pelampau dengan segera,” tegasnya. – KOSMO! ONLINE














