fbpx
Toh Puan Na’imah

Na’imah dapat rujuk dua persoalan undang-undang pertuduhan gagal isytihar harta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Mahkamah Persekutuan akan mendengar dua persoalan undang-undang yang dikemukakan Toh Puan Na’imah Abdul Khalid berhubung pertuduhan gagal mengisytiharkan harta.

Ia selepas Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohd. Arief Emran Arifin membenarkan dua persoalan undang-undang yang dipohon balu bekas Menteri Kewangan Allahyarham Tun Daim Zainuddin itu.

Persoalan pertama ialah sama ada Seksyen 30(5) dan 36(2) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 melanggar hak-hak terhadap menyalahkan diri sendiri (self-incrimination), atau hak untuk tidak dipaksa mengemukakan keterangan bukti yang menunjukkan seseorang bersalah untuk berdiam diri, prinsip anggapan tidak bersalah atau hak kepada perbicaraan yang adil dan melanggar Perkara 5 dan 8 Perlembagaan Persekutuan.

Sementara persoalan kedua pula adalah sama ada Seksyen 30(5) dan 36(2) Akta SPRM 2009 memenuhi ujian kekadaran tiga peringkat (three-fold test of proportionality) sebagaimana yang termaktub dalam Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan.

“Saya telah membaca hujahan-hujahan kedua-dua pihak. Namun, saya hanya membenarkan dua persoalan sahaja dirujuk kepada Mahkamah Persekutuan,” kata hakim itu.

Dalam prosiding hari ini, kehadiran Na’imah dikecualikan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin manakala Na’imah diwakili peguam Datuk Dr. Gurdial Singh Nijar dan Muhammad Nizamuddin Abdul Hamid.

Sementara itu, Gurdial ketika ditemui media selepas prosiding kes tersebut berkata dua persoalan yang dibenarkan akan memberi kesan terhadap pertuduhan yang dihadapi Na’imah.

Pada 29 Februari 2024, Na’imah memfailkan permohonan untuk merujuk persoalan undang-undang membabitkan Seksyen 30(5), Seksyen 36(2) dan Seksyen 62 Akta SPRM 2009 serta Seksyen 32(3)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 ke Mahkamah Tinggi.

Sebelum ini, pada 21 Ogos 2025, Hakim Mahkamah Tinggi K.Muniandy (kini Hakim Mahkamah Rayuan) membenarkan permohonan Na’imah untuk menyemak keputusan Mahkamah Sesyen di sini yang menolak permintaannya merujuk lapan persoalan undang-undang kepada Mahkamah Persekutuan berhubung pertuduhan yang dihadapinya.

Na’imah didakwa pada 23 Januari 2024 di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan gagal mematuhi notis agar mengisytiharkan hartanya termasuk Menara Ilham serta beberapa aset lain di sekitar Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda RM100,000 jika sabit kesalahan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI