“SEJUJURNYA, saya sangat bersyukur dan terharu apabila diberikan peluang untuk mewakili Malaysia ke Commonwealth Youth Development Summit (CYDS) 2026 di University of Oxford, Britain.
“Bagi saya, peluang ini bukan sekadar pencapaian peribadi, malah satu amanah besar untuk membawa suara belia Malaysia ke peringkat antarabangsa.”
Itu apa yang boleh disimpulkan oleh Sharvin Thangaraj, 22, tatkala menjadi satu-satunya wakil tunggal Malaysia ke CYDS pada awal bulan lalu.
CYDS 2026 merupakan sebuah sidang belia antarabangsa yang menghimpunkan pemimpin muda, pembuat dasar, aktivis dan wakil organisasi dalam Komanwel termasuk dari Asia, Afrika, Eropah serta Caribbean.
Program anjuran Commonwealth Youth Council itu bertujuan memperkukuh penglibatan belia dalam pembangunan dasar, tadbir urus dan pembangunan mampan.
Pelajar Ijazah Sarjana Muda Undang-undang dengan Kepujian dari Universiti Utara Malaysia (UUM) itu memaklumkan, pada mulanya, dia seperti tidak percaya diberi peluang menghadiri acara tersebut.
“Sebagai seorang mahasiswa dari UUM, peluang untuk berada di pentas global seperti itu sememangnya satu pengalaman yang sangat bermakna.
“Apa yang lebih menyentuh hati, saya dapat membawa perspektif anak muda Malaysia, khususnya berkaitan isu keterangkuman belia, pembangunan komuniti luar bandar dan penglibatan anak muda dalam dasar awam.
“Saya juga bangga kerana dapat mengharumkan nama UUM dan Malaysia di platform antarabangsa.
“Sepanjang program berlangsung, saya sentiasa mengingatkan diri bahawa saya bukan hadir atas kapasiti individu semata-mata.
“Sebaliknya, sebagai wakil negara yang membawa identiti, nilai dan aspirasi belia Malaysia,” katanya kepada K-Kampus dengan penuh bersemangat.

Tambah anak jati Seri Manjung, Perak, pencapaian itu, sebenarnya mahasiswa Malaysia mampu bersaing di peringkat global jika diberikan peluang dan ruang yang sewajarnya.
Ditanya mengenai kriteria atau syarat melayakkan dirinya terpilih sebagai delegasi CYDS, mahasiswa semester enam itu berkata, terdapat proses saringan yang agak kompetitif.
MENURUT Sharvin, para peserta perlu menghantar permohonan yang merangkumi latar belakang akademik, penglibatan kepimpinan, aktiviti kesukarelawanan dan pengalaman dalam advokasi atau pembangunan belia.
Selain itu, calon juga perlu menunjukkan cara mereka mampu memberi impak kepada komuniti melalui penyertaan dalam program tersebut.
“Berdasarkan pengalaman saya, elemen paling penting bukan pencapaian akademik semata-mata, sebaliknya konsistensi dalam penglibatan masyarakat dan kemampuan membawa idea yang relevan.
“Selain itu, keyakinan diri, kemahiran komunikasi dan kesediaan untuk bekerja dalam suasana antarabangsa juga sangat penting.
“Peserta perlu berdiskusi dengan individu daripada pelbagai latar budaya dan pandangan.
“Jadi, kemampuan menyesuaikan diri dan berfikir secara terbuka menjadi antara kekuatan utama,” katanya.
Berkongsi lanjut mengenai CYDS 2026, anak bongsu daripada tiga beradik itu memberitahu, sepanjang program tiga hari, para peserta didedahkan dengan pelbagai sesi panel, simulasi polisi, bengkel strategi dan perbincangan berkaitan isu global.
Antara isu global yang dibincangkan adalah pengangguran belia, ketidaksamaan ekonomi, perubahan iklim dan penglibatan anak muda dalam proses membuat keputusan.
“Apa yang menarik mengenai program CYDS, ia bukan sekadar persidangan biasa.
“Peserta bukan hanya mendengar ceramah, sebaliknya mereka turut diberi ruang untuk menyuarakan pendapat, mengemukakan cadangan polisi dan terlibat secara aktif dalam perbincangan bersama delegasi antarabangsa,” ujarnya.
Jelas Sharvin, meskipun program tersebut berlangsung selama tiga hari, namun pengisiannya sangat padat dan penuh dengan pengalaman berharga.
“Hari pertama dimulakan dengan sesi pembukaan rasmi yang menghimpunkan tokoh-tokoh penting daripada Commonwealth Youth Council, ahli akademik dan pemimpin antarabangsa.
“Peserta diperkenalkan kepada tema utama persidangan serta cabaran global yang sedang dihadapi oleh golongan belia di seluruh negara Komanwel.
“Sepanjang hari pertama juga, kami menyertai sesi panel menteri dan perbincangan berkaitan penglibatan belia dalam tadbir urus negara.
“Dalam sesi tersebut, saya turut berpeluang mengemukakan persoalan berkaitan kos sara hidup, ketidaksamaan peluang dan cabaran dihadapi belia luar bandar di Malaysia,” katanya.
Pada hari kedua, program lebih tertumpu kepada sesi simulasi polisi dan perbincangan strategi.
Para peserta dibahagikan kepada beberapa kumpulan mewakili pelbagai pemegang taruh seperti kerajaan, organisasi antarabangsa dan organisasi belia.
“Saya mewakili kumpulan organisasi belia menyuarakan mengenai kepentingan penglibatan anak muda dalam proses penggubalan dasar.
“Selain itu, kami membincangkan isu keusahawanan belia, akses kewangan, pembangunan ekonomi dan pendekatan dasar yang lebih inklusif.
“Antara perkara yang paling memberi kesan kepada saya adalah bagaimana peserta dari negara berbeza berkongsi realiti dan cabaran hampir sama, walaupun datang daripada latar budaya berbeza.
“Pada hari terakhir, saya diberi peluang menyampaikan pembentangan berkaitan kepentingan dasar yang inklusif untuk komuniti luar bandar dan golongan terpinggir.
“Saya juga menekankan bahawa perubahan besar boleh berlaku apabila anak muda bersatu dan bekerjasama,” tuturnya.
Diaju mengenai cabaran sepanjang program berlangsung, Bendahari Kehormat Majlis Perwakilan Pelajar UUM dan Head of Advocacy and Policy Malaysian Students’ Global Alliance serta Ketua Cawangan Alor Setar, Majlis Belia India Malaysia (MIYC) itu ada jawapan tersendiri.
Katanya, antara cabaran terbesar dihadapi sepanjang program berlangsung adalah untuk menyesuaikan diri dalam suasana perbincangan antarabangsa yang sangat pantas dan intensif.
Peserta yang hadir terdiri daripada individu sangat berpengalaman dalam bidang kepimpinan, dasar awam dan advokasi belia.
“Jadi, saya perlu sentiasa bersedia dari segi pengetahuan, keyakinan dan kemampuan untuk menyampaikan pandangan dengan baik.
“Cabaran lain adalah jadual program yang sangat padat. Setiap hari dipenuhi dengan sesi panel, bengkel, simulasi dan perbincangan strategik dari pagi hingga malam.
“Ia memerlukan fokus dan tenaga yang tinggi kerana setiap sesi mempunyai pengisian yang penting,” katanya.
Pun begitu, dia melihat cabaran tersebut sebagai peluang untuk berkembang, sekali gus belajar menyuarakan pendapat, berfikir dengan cepat dan menyesuaikan diri dalam suasana profesional.
Selain pengalaman yang sangat bermakna, penyertaan dalam CYDS 2026 banyak membuka perspektif baharu dalam diri Sharvin.
Akuinya, isu pembangunan belia bukan hanya berlaku di Malaysia, malah dihadapi oleh banyak negara lain dalam bentuk yang berbeza.
“Program ini turut meningkatkan keyakinan diri saya untuk bercakap dan menyuarakan pendapat di platform antarabangsa.
“Sebelum ini, saya mungkin melihat diri saya hanya sebagai seorang mahasiswa biasa. Namun pengalaman tersebut membuatkan saya sedar bahawa anak muda juga mempunyai kemampuan untuk menyumbang dalam perbincangan dasar serta pembangunan global.
“Saya juga memperoleh jaringan antarabangsa yang sangat luas. Saya berpeluang berinteraksi dengan pemimpin muda, aktivis, pembuat dasar dan delegasi dari pelbagai negara.
“Hubungan tersebut sangat berharga kerana ia membuka peluang kerjasama dan pertukaran idea pada masa hadapan.
“Saya juga banyak mempelajari tentang kepentingan advokasi yang inklusif. Sepanjang program, saya sering membawa isu berkaitan komuniti luar bandar dan golongan kurang mendapat perhatian.
“Pengalaman tersebut mengukuhkan lagi komitmen saya untuk terus memperjuangkan akses dan peluang yang lebih adil kepada semua belia,” katanya.
Lebih manis, sepanjang program tersebut, dia turut dipilih sebagai finalis People’s Choice Award, iaitu pengiktirafan kepada delegasi yang menunjukkan penglibatan aktif dan konsisten sepanjang sidang berlangsung.
Pengiktirafan itu memberi motivasi besar kepada dirinya untuk terus aktif dalam bidang kepimpinan dan pembangunan belia.














