PETALING JAYA – Rakyat Malaysia di Qatar diminta supaya terus berwaspada dan tidak keluar rumah susulan keadaan di Rantau Teluk yang masih belum stabil sepenuhnya.
Kedutaan Besar Malaysia di Doha dalam kenyataan memaklumkan, semua rakyat Malaysia di negara itu diminta tidak keluar, kecuali bagi urusan mustahak sahaja.
Menurut kenyataan itu, orang ramai juga diminta mengikuti perkembangan semasa melalui sumber sahih serta tidak menyebarkan berita tidak benar.
“Buat masa ini, ruang udara Qatar masih ditutup,” katanya, hari ini.
Sehubungan itu, rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan lanjut di Lapangan Terbang Antarabangsa Hamad boleh menghubungi talian Qatar Airways di +974 4144 5555.
Dalam situasi kecemasan, Kedutaan Besar Malaysia di Doha boleh dihubungi menerusi talian +974 3374 6733 (24 jam) atau e-mel [email protected]. – KOSMO! ONLINE














