SHAH ALAM – Perbuatan kejam seorang lelaki mendera anak bekas kekasihnya berusia tiga tahun menggunakan kayu, penyangkut baju, tali pinggang sehingga mati akhirnya berbalas apabila dijatuhi hukuman gantung oleh Mahkamah Tinggi di sini, hari ini.
Hakim Norliza Othman menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, S. Davandakumar, 32, yang didapati bersalah selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.
Tegasnya, mahkamah mendapati bahawa pembelaaan tertuduh hanya bersifat penafian kosong semata-mata.
“Mahkamah mendapati dalam kes ini mangsa adalah seorang kanak-kanak berusia tiga tahun. Mahkamah meneliti laporan bedah siasat yang menunjukkan tubuh kecil dan kurus mangsa.
“Kanak-kanak itu dipukul dengan kejam menggunakan batang paip, kayu, tali pinggang dan penyangkut baju. Dia yang langsung tidak berdaya melawan kemudian direndam ke dalam air sebelum diseret ke bilik dan dibelasah lagi sehingga tidak bernyawa.
“Oleh itu, mahkamah berpendapat tiada hukuman lain yang setimpal selain digantung sampai mati,” tegasnya.
Mengikut pertuduhan, Davandakumar didakwa telah membunuh dengan menyebabkan kematian terhadap kanak-kanak lelaki, K. Nithish, 3, di sebuah rumah di Jalan Hulubalang 28, Taman Sentosa, antara pukul 9.30 pagi hingga 5.30 petang pada 24 Disember 2021.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Terdahulu, pada prosiding itu, Peguam Zamri Ibrahim dalam mitigasinya memaklumkan anak guamnya masih bujang dan merupakan anak ketiga daripada tiga beradik selain telah menyesal serta berjanji tidak akan mengulangi kesilapan sama.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Farah Aqilah Ahmad Fuad dan Maryam Jamielah Ab. Manaff menegaskan, kesalahan tertuduh amat keji dan sukar untuk dimaafkan kerana mengambil satu nyawa kanak-kanak yang tidak berdosa.
Tambahnya, tertuduh telah mendera mangsa selama tiga hari berturut-turut hingga akhir nafas si mati sehingga menyebabkan banyak kecederaan dialami mangsa.
“Tertuduh turut menyelamkan kepala si mati dalam baldi yang dipenuhi air sehingga mangsa hampir lemas dan lemah. Setelah si mati lemah, tertuduh mencekik dan menggigit leher serta tangan kanak-kanak itu sehingga keadaan mangsa tidak bergerak.
“Lebih menyedihkan, perbuatan ini berlaku di hadapan mata ibu kandung mangsa sendiri, yang menanggung trauma sehingga ke akhir hayatnya,” katanya.
Kosmo! pada 28 Disember 2021 melaporkan seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun maut dipercayai akibat didera menggunakan kayu, tali pinggang serta penyangkut baju di daerah ini baru-baru ini.
Insiden itu terbongkar selepas polis menerima laporan dibuat seorang pegawai perubatan Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) kira-kira pukul 6.20 petang, 24 Disember 2021.
Davandakumar kemudiannya didakwa di Mahkamah Majistret Klang pada 5 Januari 2022. – KOSMO! ONLINE














