PARIS – AS Monaco tidak bernasib baik apabila tersingkir dua musim berturut-turut di pentas playoff Liga Juara-Juara Eropah (UCL) selepas tewas agregat 4-5 kepada juara bertahan, Paris Saint-Germain (PSG) awal pagi semalam.
Pada perlawanan tersebut, Monaco masih mampu memberikan tentangan sengit walaupun beraksi dengan 10 pemain selepas Mamadou Coulibaly dilayangkan kad merah pada awal babak kedua untuk mengikat PSG dengan keputusan 2-2.
Jurulatih Monaco, Sebastien Pocognoli mengakui pasukannya sebenarnya mampu melakukan lebih baik tetapi kini terpaksa alihkan tumpuan sepenuhnya dalam aksi domestik.
“Kami boleh melangkah jauh pada kempen kali ini tetapi secara keseluruhan, saya anggap perjalanan pasukan masih memuaskan. Semoga pengalaman ini membantu kami berkembang lebih baik pada masa depan,” katanya.
Pemain pertahanan Monaco, Jordan Teze yang menjaringkan satu gol, mengkritik beberapa keputusan pengadil yang dianggap berat sebelah termasuk ketika melayangkan kad merah buat Coulibaly.
“Saya tak tahu bagaimana nak jelaskan. Kami perlu cari penyelesaian tentang kad merah ini. Sebagai contoh, jika Coulibaly pemain PSG, adakah pengadil akan beri kad itu? Itu persoalan yang sentiasa timbul,” katanya.
Buat masa ini, Monaco menduduki tangga kelapan saingan Ligue 1 Perancis selepas gagal mempamerkan aksi konsisten dengan tiga kelab teratas akan layak secara automatik ke kancah UCL musim depan. – AGENSI














