MUNICH – Pengendali Bayern Munich, Vincent Kompany mengakui perasaannya bercampur baur selepas melihat impian pasukan untuk meraih gelaran trebel berkecai susulan tersingkir di peringkat separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah (UCL) musim ini.
Pada aksi separuh akhir kedua awal pagi semalam, Bayern gagal bangkit apabila mencatat keputusan seri 1-1 bertemu Paris Saint-Germain (PSG) yang menyaksikan juara bertahan itu mara ke final dengan agregat 6-5.
Kekalahan tersebut bermakna Bayern terlepas peluang memburu gelaran Eropah ketujuh dan yang pertama sejak edisi 2020, tetapi Kompany kekal positif dan optimis dengan peningkatan dipamerkan pasukannya musim ini.
“Kami menunjukkan perkembangan yang baik musim ini dan pasukan perlu bekerja lebih keras pada musim depan.
“Saya enggan kecewa terlalu lama kerana kami tewas dalam dua perlawanan yang sangat seimbang menentang pasukan hebat. Cuma, nasib tidak menyebelahi pasukan apabila gagal memberi ancaman ke kubu lawan,” katanya.
Sementara itu, penjaga gol Bayern, Manuel Neuer memuji ketajaman jentera serangan PSG yang menjadi faktor utama pasukan lawan boleh mara ke final UCL kali ini.
“PSG sangat kejam apabila meledak lima gol mereka minggu lalu. Saya rasa kami hampir ke final, tetapi gagal bangkit untuk menang aksi kali ini,” katanya. – AGENSI














