KUALA LUMPUR – Masalah kesihatan dialami pemandu kereta jenis Nissan Lation dipercayai menjadi punca kemalangan melibatkan tiga kenderaan di Jalan 34/26 Wangsa Maju, di sini semalam.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd. Zamzuri Mohd. Isa berkata, kemalangan kira-kira pukul 3.15 petang itu melibatkan dua kenderaan lain iaitu Toyota Corolla Cross dan Proton Saga.
Menurutnya, kereta Nissan Lation tersebut dipandu oleh seorang lelaki tempatan yang merupakan pesara tentera berusia 84 tahun.
“Siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berpunca daripada masalah kesihatan dialami pemandu Nissan Latio yang mengalami sakit di bahagian pundi kencing menyebabkan kenderaannya hilang kawalan.
“Mangsa kemudian melanggar dua buah kereta yang diparkir di bahu kiri jalan sehingga menyebabkan kenderaannya terbalik,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd. Zamzuri berkata, mangsa mengalami kecederaan ringan dan menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Katanya, ketika kejadian, pemandu Toyota Corolla Cross iaitu lelaki berbangsa Arab berusia 36 tahun masih berada dalam kenderaan manakala pemilik Proton Saga iaitu lelaki Melayu berusia 28 tahun tidak berada dalam kenderaan.
“Kedua-dua individu berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan dan kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Orang ramai atau saksi kejadian yang mempunyai maklumat berkaitan diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Balai Polis Trafik Tun H.S. Lee di talian 03-2071 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














