fbpx
Seorang mangsa maut dalam kebakaran rumah di Bandar Sri Astana, Sungai Petani awal pagi tadi. - Gambar JBPM KEDAH

Pemuda maut di loteng rumah terbakar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SUNGAI PETANI – Seorang lelaki berusia 20 tahun ditemukan maut dalam kebakaran sebuah rumah di Lorong Astana, Bandar Sri Astana di sini awal pagi tadi.

Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan I Mohd. Zaki Senik berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kebakaran rumah dengan api sedang marak pada pukul 4.51 pagi.

“Susulan itu, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Petani bersama bantuan BBP Aman Jaya digerakkan ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi didapati kebakaran melibatkan sebuah rumah kelas A setingkat,” katanya hari ini.

Menurutnya, operasi pemadaman dijalankan menggunakan satu aliran sepanjang 30.48 meter dengan satu pancutan serta salur bantu mula menggunakan sumber air daripada tangki jentera dan pili bomba berhampiran.

“Kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pada pukul 5.41 pagi dan dianggarkan memusnahkan kira-kira 80 peratus struktur rumah,” ujarnya.

Katanya, kebakaran dipercayai bermula dari bahagian hadapan rumah yang mana ia turut melibatkan sebuah kenderaan jenis Perodua Alza yang musnah 90 peratus serta empat motosikal.

Beliau berkata, pasukan bomba seterusnya menemukan seorang mangsa lelaki di ruang loteng rumah pada pukul 5.23 pagi.

“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM). Dalam kejadian sama, seorang lelaki berusia lingkungan 50-an mengalami sesak nafas dan dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim oleh ambulans KKM untuk menerima rawatan lanjut,” katanya.

Tambahnya, punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN