LANGIT seni tanah air tengah hari Isnin lalu tiba-tiba berkabut pilu. Tanpa diduga, suasana benderang seperti dirampas gerimis, seolah-olah turut merasai keheningan sebuah kepulangan yang tidak akan kembali lagi.
Pada tanggal 4 Mei, aktor senior yang cukup kita kenali dengan watak-watak ‘marhaen’ merobek jiwa, Jalil Hamid, 69, telah pun ‘dipilih’ untuk berehat selamanya.
Ketepikan sebahagian generasi baharu yang barangkali belum benar kenal susuk lelaki penuh karakter itu, namun dalam kalangan kebanyakan orang industri, nama beliau cukup disegani dengan deretan naskhah terbilang.
Kemasyhuran namanya sebagai pemeran watak tiada galang ganti, namun di sebalik nama besarnya, tersimpan pedih bisik hati sukar terungkap.
Ada duka yang dibawa hingga ke liang lahad. Dua kali panggilan agung sebagai tetamu Tanah Suci terpaksa dilepaskan, namun panggilan yang satu ini, disahut penuh indah. Beliau berpulang seperti sedang bermimpi menuju destinasi abadi.
Seperti yang diakui anak keduanya, Afiqah, bapanya sering berseloroh tentang impian tertunda, menunaikan rukun Islam kelima di Tanah Suci Mekah. Siapa sangka, situasi ‘tak jadi pergi haji’ itu sebenarnya sudah lama ‘diramal’ menerusi naskhah-naskhah hebat lakonannya, Lebai Sampan dan Selangkah ke Syurga.
“Dia berlakon cerita tak jadi pergi haji, jadi kami selalu bergurau tentang perkara itu. Tapi di sebalik gurauan, saya tahu dia simpan rasa sedih. Itu memang impian dia,” ujar Afiqah.
Hakikatnya, realiti sebenar lebih pahit daripada skrip. Itu kisah luka seorang insan yang telah sebegitu banyak menghiburkan kita semua.
Mengenang sosok berjiwa besar itu, Jalil bukan sekadar pelakon. Beliau adalah cermin masyarakat. Lihatlah bagaimana lagu Ayam dan Raya yang gemanya sudah berdekad lama, namun masih segar, tidak pernah jemu dihayati bahkan terus menghiburkan khalayak sehingga kini.
Daripada filem pertama Driving School yang menggeletek hati, Baginda sehinggalah ke naskhah Bisik Pada Langit yang menikam naluri setiap anak sebagai saksi, Jalil membuktikan bahawa lakonan bukan sekadar visual rupa, tetapi kejujuran rasa dan makna.
Rentetan naskhah seperti Sekeras Kerikil, Liang Lahad, Beca Usang, Sepat Ronggeng, Parit Jawa, Malek, Calon Syurga, Ayahanda, Pencipta Pegang Waktu, Rumah Kecil Untuk Tuhan, Wangi Setangi, Kalam Berakar Tanah, Cucu Atuk, Balasan Dosa, Jangan Ambil Botol Itu, Demi Masa, Rombengan (telefilem terakhir, sekadar menyebut beberapa judul) dan puluhan naskhah lain, semua itu adalah bukti pengabdiannya terhadap sebuah lakonan yang semoga menjadi satu daripada bekal ibadahnya.
Biarpun pernah diangkat sebagai Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik menerusi filem Baginda (FFM133) dan drama Calon Syurga (Anugerah Skrin 2016), sebuah trofi sebenarnya tidak pernah cukup untuk menghargai kerja seni beliau. Bagaikan ‘bertempat’ di jiwa khalayak jauh lebih bernilai daripada sekadar sebuah arca.
Di lokasi penggambaran, Jalil membawa susuk seorang bapa. Kehilangannya sangat dirasai pelapis seni seperti Beto Kusyairy, Noorkhiriah, Ummi Nazeera, dan Aedy Ashraf yang menyifatkan beliau sebagai ‘abah’. Beliau disayangi semua kerana kejujuran dan kebaikan hatinya yang tidak pernah bersempadan.
Kini ‘Lebai Sampan’ sudah tiba di dermaga abadi. Biarpun kaki tidak sempat mencecah Tanah Suci secara realiti, kita percaya keikhlasan dan pengorbanannya sebagai anak seni yang jujur telah pun membawanya ke sebuah destinasi yang lebih indah.
Tiada lagi suara garau yang mendendangkan kisah rakyat. Tiada lagi wajah hiba kebapaan yang membuatkan kita ketawa dalam tangis.
Yang tinggal hanyalah naskhah-naskhah abadi dan memori indah tentang seorang insan bernama Abd. Jalil Abd. Hamid, aktor prolifik yang pernah mewarnai kanvas seni negara selama lebih empat dekad.
Selamat berehat, ‘Abah’ Jalil. Duniamu mungkin telah berakhir, namun ‘magis’ yang kau tinggalkan akan sentiasa segar dalam doa-doa kami. Al-Fatihah.














