PETALING JAYA – Laman sosial bagai dijadikan gelanggang menghakimi orang lain, pelakon Nabila Huda menegur tindakan segelintir netizen yang terlalu obses untuk menyebarkan kebencian menerusi komen negatif.
Nabila Huda, 41, berkata, situasi yang dilihat di depan mata membuatkannya tertanya-tanya mengenai cara didikan individu bersikap sedemikian sehingga kecaman seperti perkara biasa.
“Dalam era media sosial ini, ramai yang makin sakit. Terlalu banyak kebencian. Saya sentiasa rasa hairan. Bagaimanakah cara kamu dibesarkan?
“Sebab saya, childhood trauma saya mengajar saya sesuatu yang lain,” katanya menerusi hantaran di platform Threads.
Pelakon filem Gayong itu turut menasihatkan netizen agar jangan mudah menilai kehidupan orang lain memandangkan setiap individu berdepan perjalanan yang berbeza.
“Jangan pernah menilai, jangan pernah cari salah orang, jangan pernah cuba untuk betulkan hidup orang lain.
“Kamu tak pernah tahu apa yang akan datang dalam hidup ini. Jadi bersedialah,” ujarnya.
Menerusi perkongsian sama, Nabila turut mendedahkan pernah melalui pelbagai pengalaman yang mematangkan dirinya.
Sekali gus, tegas Pelakon Wanita Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-28 (FFM28) itu, dia tegar untuk bangun menempuh onak duri.
“Saya? Saya pernah mengalaminya. Melakukannya. Itulah sebabnya saya tidak mendengar bunyi bising.
“Kamu tidak berada di dalam perjalanan saya. Saya akan terus melangkah. Meneroka watak. Mengejar impian,” katanya.
Biarpun tidak menjelaskan lebih lanjut berkenaan hantaran tersebut, rata-rata pengguna laman sosial sependapat dengannya.
“Biarkan mereka yang tidak beradab terus jadi begitu. Saya suka bakat semula jadi awak. Teruskan berkarya,” tulis seorang pengguna Threads lain. – KOSMO! ONLINE














