KOTA BHARU – Peniaga dan pemilik kedai emas disaran untuk mengurangkan kadar upah barangan kemas di premis masing-masing dalam usaha merancakkan lagi kemasukan pelancong ke Kelantan sempena musim perayaan.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Warisan Kelantan, Datuk Kamarudin Md. Nor berkata, pengurangan kadar upah emas itu dilihat sejajar dengan visi kerajaan negeri untuk mempromosikan sektor pelancongan pada bulan Ramadan dan Syawal.
Katanya, harga emas yang melonjak ketika ini tidak boleh dikurangkan kerana jualan barang kemas perlu mengikut nilai pasaran yang ditetapkan satu badan di peringkat global.
“Jadi, sempena Bulan Emas Kelantan 2026 yang bermula 1 hingga 31 Mac ini, kita sarankan peniaga emas kurangkan kadar upah barangan kemas di premis mereka. Bulan depan sambut Aidilfitri.
“Pengenalan Bulan Emas Kelantan 2026 juga merupakan salah satu usaha kerajaan negeri untuk membantu pengusaha kedai emas di Kelantan,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Peluncuran Bulan Emas Kelantan 2026 di sini hari ini.
Kamarudin berkata, Kelantan merupakan negeri pertama yang memperkenalkan bulan emas kerana barangan kemas sinonim dengan masyarakat di negeri ini.
Selain pelbagai jenis makanan, perniagaan emas merupakan antara salah satu sektor pelancongan yang melonjakkan ekonomi Kelantan.
“Setakat ini, kita giat mempromosikan destinasi jualan emas sedia ada di Kelantan seperti Pasar Besar Siti Khadijah, Bazar Tuan Padang dan premis-premis lain yang menjual barangan kemas di Kota Bharu.
“Tahap keselamatan di premis jualan emas di Kelantan juga terjamin, sekali gus membantu menarik pelancong ke negeri ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE














