fbpx
Gambar hiasan

Stok beras negara cukup lebih 5 bulan jika berlaku bencana

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memberi jaminan bekalan beras negara berada pada tahap mencukupi dan mampu menampung keperluan rakyat sehingga 5.45 bulan sekiranya negara dilanda bencana.

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, sehingga 3 Februari lalu, stok fizikal beras negara direkodkan sebanyak 1,089,285 tan.

“Jumlah itu merangkumi 200,000 tan stok penimbal beras dan 889,285 tan stok dagangan yang berada dalam pasaran.

“Dengan jumlah ini, kita yakin bekalan beras semasa adalah mencukupi untuk menampung keperluan dalam tempoh lebih lima bulan sekiranya berlaku sebarang gangguan seperti bencana,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata, KPKM turut melaksanakan Projek Rintis Penanaman Padi Lima Musim Dalam Tempoh Dua Tahun sebagai langkah persediaan menghadapi risiko bencana dan perubahan iklim.

Katanya, projek itu melibatkan kawasan seluas 3,000 hektar secara berperingkat di bawah Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) bermula tahun 2024.

Dalam masa sama, kementerian juga memperkasa industri lembu pedaging melalui Program Peningkatan Ruminan serta Program Pembiakbakaan Ternakan Ruminan menggunakan teknologi pembiakan berbantu.

Langkah tersebut bertujuan meningkatkan populasi induk pembiak berkualiti dalam negara sekali gus memperkukuh bekalan daging tempatan.

“Hasil lembu pedaging turut dipertingkat melalui Program Insentif Galakan Peningkatan Produktiviti Lembu Pedaging ke arah mencapai purata kadar kelahiran nasional sebanyak 60 peratus,” jelasnya.

Tambah beliau, Malaysia juga mengeratkan hubungan dengan negara pembekal bahan makanan utama termasuk negara ASEAN, China, India, Pakistan, Brazil, Australia dan New Zealand bagi memastikan rantaian bekalan makanan kekal stabil.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Zakri Hassan (PN-Kangar) berhubung kaedah kementerian memastikan kesinambungan bekalan makanan negara ketika berdepan bencana seperti banjir dan perubahan iklim yang menjejaskan pengeluaran hasil pertanian. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN