fbpx
Luqman (dua dari kiri) menyerahkan geran Pembaikan Imej dan Pembungkusan Produk kepada seorang usahawan pada Jualan Agro Madani Mega di RTC Tunjong, Kota Bharu hari ini.

Program Jualan Agro Madani rekod hasil RM101 juta sepanjang tahun lalu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KOTA BHARU – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) merekodkan sebanyak RM101 juta kutipan hasil menerusi Program Jualan Agro Madani sepanjang tahun lalu.

Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) KPKM, Datuk Luqman Ahmad berkata, jumlah itu melibatkan sebanyak 4,695 program yang dilaksanakan dengan memberi manfaat kepada lebih 6.89 juta pengguna.

Katanya, sebanyak RM8.59 juta nilai jualan direkodkan menerusi 571 Program Jualan Agro Madani dalam tempoh Januari hingga 17 Mei lalu.

“Program itu banyak menyediakan jualan istimewa kombo Madani yang menawarkan gabungan produk segar seperti telur, sayur dan lain-lain.

“Selain itu, pengunjung juga berpeluang menerima baucar Agrobazaar Online bernilai RM5 bagi setiap pembelian RM15 dan baucar RM10 untuk pembelian RM30 ke atas di reruai pameran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA),” katanya ketika ditemui pemberita pada Jualan Agro Madani Mega di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) di Tunjong di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Luqman memberitahu, inisiatif tersebut dilihat mampu membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat di samping menggalakkan pembelian terus daripada usahawan tempatan tanpa melibatkan orang tengah.

Katanya, FAMA turut menyasarkan jualan sebanyak RM750,000 dengan kunjungan seramai 50,000 pengunjung menerusi Program Jualan Agro Madani Mega di RTC Tunjong di sini yang berlangsung selama tiga hari sehingga esok.

“Sebanyak enam kluster utama disediakan sepanjang program iaitu Kluster Makanan Popular dan Viral, Kluster Segar, Kluster Industri Asas Tani, Kluster Florikultur, Kluster Kraftangan dan Pameran Agensi,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN