fbpx
Eddry menunjukkan gambar Asmir yang dirawat di Hospital Gua Musang selepas cedera diserang seekor beruang matahari semalam. Foto oleh AIMUNI TUAN LAH / KOSMO!

Orang Asli cedera diserang beruang matahari ketika cari herba

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GUA MUSANG – Niat murni seorang lelaki Orang Asli suku kaum Temiar untuk mencari herba buat ibunya yang sedang sakit tua tidak kesampaian apabila cedera diserang seekor beruang matahari di kawasan hutan berhampiran Kampung Guh, Pos Tohoi di sini semalam.

Kejadian kira-kira pukul 1 tengah hari itu menyebabkan mangsa, Asmir Alang, 19, cedera pada bahagian kaki kanan dan tangan kirinya.

Bapa saudara mangsa, Eddry Chali, 41, berkata, sebelum kejadian, Asmir bersama abang, adik dan tiga saudaranya ke hutan mencari herba yang merupakan akar-akar kayu untuk ibunya yang sakit tua.
Katanya, ketika sampai di lokasi kejadian, mereka berenam yang belum menjumpai herba yang dicari berehat untuk menghilangkan penat sebelum seekor beruang bersama seekor anaknya datang menyerang Asmir.

“Mereka bergerak dari rumah kira-kira pukul 9.15 pagi dengan menunggang motosikal sebelum masuk ke hutan tersebut pada pukul 12 tengah hari.

“Cemas dengan kejadian itu, abang dan adik mangsa bertindak memukul beruang terbabit yang tidak dapat dipastikan jantinanya menggunakan kayu sebelum haiwan liar terbabit melarikan diri,” katanya.

Eddry memberitahu, Asmir yang berlumuran darah dibawa pulang ke Pos Tohoi. Dia melihat sebuah trak pikap sebelum meminta pertolongan pemandunya untuk menghantar Asmir ke Klinik Kesihatan Kuala Betis sebelum dirujuk ke Hospital Gua Musang.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut dan siasatan lanjut masih dijalankan. – KOSMO! ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN