KUALA NERANG – Cubaan dua lelaki tempatan menyeludup 230 liter petrol ke Thailand gagal apabila mereka ditahan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Kota Putra di Durian Burung, dekat sini semalam.
Kedua-dua suspek berusia 23 tahun yang masing-masing memandu kereta jenis Toyota Camry dan Proton Iswara itu ditahan dalam Ops Tiris 4.0 kira-kira pukul 8.30 pagi.
Menurut Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah, dua kereta itu dilihat dalam keadaan mencurigakan sebelum ditahan di laluan keluar ICQS tersebut.
“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat tangki tambahan yang mengandungi cecair disyaki petrol dianggarkan sebanyak 100 liter dan 130 liter bagi setiap kereta.
“Kedua-dua pemandu itu kemudian ditahan untuk siasatan lanjut sebelum dilepaskan dengan jaminan polis selepas selesai rakaman percakapan,” katanya di sini hari ini.
Katanya, nilai rampasan keseluruhan bagi kes itu berjumlah RM26,824.60 dan kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122). – KOSMO! ONLINE














