fbpx
AKUINYA, semangatnya hendak turun ke lokasi penggambaran akan menjadi lebih berkobar-kobar jika menerima cabaran baharu dalam watak dan naskhah yang diterajui.

‘Tak mungkin berhenti berlakon, saya cuma selektif’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SIAPA tidak kenal Shaheizy Sam, hampir tiga dekad lamanya menganyam perjalanan seni dengan penuh dedikasi, menyelusuri pelbagai dimensi watak daripada komedi santai, romantik menyentuh jiwa hingga aksi mendebarkan.

Bermula seawal usia 12 tahun pada 1995, langkah kecil itu akhirnya membawa kepada deretan kejayaan apabila dia membintangi puluhan drama serta lebih 20 filem yang mengukuhkan kedudukannya sebagai antara aktor paling berpengaruh tanah air.

Pun begitu, di sebalik segala pencapaian, pemilik nama sebenar Shaheizy Sam Abdul Samad itu tidak pernah puas apatah lagi terlintas untuk bersara mahupun memperlahankan rentak di pentas seni.

Baginya, lakonan bukan hanya kerjaya, tetapi nadi kehidupan.

“Berhenti berlakon tidak sama sekali. Lakonan sudah menjadi minat saya. Kalau lima atau enam bulan tidak berada di set, perasaan rindu itu datang dan membuatkan saya ingin kembali bekerja.

“Saya cuma lebih selektif sekarang. Saya mencari skrip yang memberi cabaran baharu, sesuatu yang belum pernah saya lakukan sebelum ini. Bila ada watak berbeza, semangat untuk mencuba itu datang dengan sendirinya.

“Namun bagi saya, bukan skrip sahaja menjadi keutamaan. Apa yang lebih penting adalah tenaga kerja di belakang tabir, terutamanya pengarah,” katanya kepada HibGlam.

Tambah Pelakon Lelaki Terbaik Filem Anugerah Skrin 2018 itu, kekuatan sesebuah naskhah banyak bergantung kepada visi dan sentuhan pengarah, sekali gus menjadi antara faktor utama dalam menentukan penerimaannya terhadap sesuatu tawaran.

“Perkara pertama yang saya lihat apabila menerima tawaran adalah siapa pengarahnya. Jika pengarah itu bagus, boleh dikatakan separuh keputusan sudah dibuat.

“Selebihnya barulah saya nilai skrip dan keseluruhan pasukan produksi. Jadi untuk berhenti berlakon, memang tidak. Rasa rindu itu sentiasa ada.

“Cuma sekarang saya memperluaskan cabang lain dengan berniaga dan dalam proses membuka restoran,” ujarnya.

Suami kepada pelakon Syatilla Melvin itu turut menitipkan harapan agar penonton terus menyokong karya tempatan dengan hadir ke pawagam, bukan sekadar bergantung kepada platform digital.

“Pandangan saya mudah. Berilah peluang kepada diri sendiri untuk pergi ke pawagam dan menonton sekurang-kurangnya sekali.

“Kadang-kadang filem yang bagus membuatkan penonton kembali ke panggung dua atau tiga kali. Itu yang berlaku kepada beberapa filem saya sebelum ini termasuk Polis Evo.

“Kalau kita sendiri tidak buka hati untuk menonton, bagaimana kita tahu sama ada sesebuah filem itu bagus atau tidak?” tuturnya.

Dalam perkembangan lain, bapa tiga anak itu kini rancak menjalani penggambaran filem aksi neo-noir berintensiti tinggi, COBRA 7: Peluru Terakhir arahan Faisal Ishak yang dijangka menemui penonton hujung tahun ini.

Turut membintangi naskhah tersebut adalah Diana Danielle, Zahiril Adzim, Amar Baharin dan Ahirine Ahidrudin. Menerusi filem berkenaan, Sam menggalas watak Damian, bekas ketua pasukan khas yang lumpuh akibat operasi berdarah sebelum menjalani eksperimen berbahaya demi peluang kedua untuk bangkit semula.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN