KLUANG – Seramai kira-kira 500 orang penyokong mengiringi calon Barisan Nasional (BN), Datuk Onn Hafiz Ghazi dengan berarak sejauh satu kilometer daripada pejabat UMNO Bahagian Simpang Renggam ke Pusat Penamaan Calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap di Dewan Muafakat Majlis Daerah Simpang Renggam di sini hari ini.
Perarakan itu turut disertai Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Ahli Parlimen Simpang Renggam, Datuk Seri Hasni Mohamad, Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Khairi Jamaluddin.
Sebelum perarakan bermula, Onn Hafiz bersama rombongan terlebih dahulu mengaminkan doa yang dibacakan oleh Biro Agama UMNO Bahagian Simpang Mas, Haider Sariman.
Onn Hafiz kemudiannya dilihat bergerak memasuki dewan penamaan pada pukul 9.05 pagi dengan diiringi pencadang dan penyokongnya.
Manakala calon Pakatan Harapan (PH) daripada parti Amanah, Hafiz Ruslan yang diiringi kira-kira 60 orang penyokong memasuki dewan penamaan pada pukul 9 pagi.-KOSMO! ONLINE














