BENTONG – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pahang merampas 829 tong gas petroleum cecair (LPG) dan menyita lori serta treler bernilai RM405,338 dalam satu serbuan di sebuah premis berpagar di sini semalam.
Pengarah KPDN Pahang, Jezlily Jamaluddin berkata, dalam serbuan itu pihaknya turut menahan seorang individu yang berada di kawasan berkenaan untuk siasatan lanjut
“Ketika pemeriksaan dijalankan, pihak penguat kuasa menemukan sejumlah besar LPG yang disimpan di dalam sebuah olori semi treler dan hasil pemeriksaan lanjut mendapati sebanyak 829 tong LPG pelbagai kapasiti disimpan di lokasi berkenaan.
“Siasatan awal mendapati premis tersebut tidak memiliki lesen atau sebarang kebenaran yang sah daripada pengawal bekalan untuk menyimpan barang kawalan berjadual sebagaimana yang ditetapkan di bawah peruntukan undang-undang,”katanya di sini hari ini.
Menurutnya, KPDN Pahang telah mengambil tindakan menyita LPG, tong LPG, dokumen berkaitan, sebuah lori bersama treler serta barangan lain yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes tersebut bagi tujuan siasatan lanjut.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 20 (1), Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 [Akta 122] kerana disyaki menyimpan barang kawalan berjadual di premis yang tidak dilesenkan atau tanpa kebenaran sah daripada Pengawal Bekalan.
Dalam pada itu beliau berkata, KPDN Pahang memberi amaran tegas kepada mana-mana pihak agar tidak terlibat dalam sebarang aktiviti penyimpanan, pengedaran atau urus niaga barang kawalan berjadual yang menyalahi peruntukan undang-undang.
Katanya, sebarang pelanggaran undang-undang akan dikenakan tindakan tegas selaras dengan undang-undang yang berkuat kuasa.
“Mana-mana orang yang melakukan kesalahan boleh diambil tindakan di bawah AKB 1961 jika orang itu suatu pertubuhan perbadanan, didenda tidak melebihi RM2 juta dan bagi kesalahan kali yang kedua atau yang berikutnya, didenda tidak melebihi RM5 juta.
“Jika orang itu bukan suatu pertubuhan perbadanan, didenda tidak melebihi RM1 juta atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali dan bagi kesalahan kali yang kedua atau yang berikutnya, didenda tidak melebihi RM3 juta atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














