MIRI – Cubaan sindiket menyeleweng minyak diesel bersubsidi dengan menjadikan sebuah rumah banglo sebagai pusat pengumpulan bahan api itu terbongkar apabila diserbu polis di Tanjung Lobang di sini, semalam.
Dalam serbuan kira-kira pukul 12 tengah hari itu, polis merampas 15,000 liter minyak diesel dipercayai bersubsidi bersama sebuah lori tangki berkapasiti 16,000 liter, sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) serta pelbagai peralatan yang dipercayai digunakan dalam kegiatan berkenaan.
Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Mohd. Farhan Lee Abdullah berkata, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM131,079.
Menurut beliau, operasi yang dijalankan oleh pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak bersama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri itu turut membawa kepada penahanan empat lelaki tempatan berusia antara 42 hingga 52 tahun.
“Hasil siasatan awal mendapati suspek menyewa sebuah rumah banglo sebelum menjadikan ruang di sebelah rumah sebagai pusat pengumpulan minyak diesel bersubsidi. Sindiket dipercayai menggunakan (khidmat) ‘runner’ untuk membeli minyak diesel subsidi di stesen minyak sekitar Bandaraya Miri menggunakan tangki kenderaan persendirian dan tong jeriken sebelum dipindahkan ke dalam tangki yang disediakan di premis,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kes itu telah diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) cawangan Miri untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 20(1) dan Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 yang dibaca bersama Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.
Mohd. Farhan berkata, kegiatan penyelewengan minyak diesel bersubsidi bukan sahaja menyebabkan kerugian besar kepada kerajaan, malah mengganggu rantaian penyaluran bekalan kepada pengguna yang benar-benar layak.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan semua pengusaha stesen minyak supaya tidak bersekongkol dengan mana-mana sindiket penyelewengan bahan api bersubsidi.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kegiatan seumpama ini diminta menyalurkannya kepada IPD Miri atau KPDN cawangan Miri bagi membolehkan tindakan penguatkuasaan diambil,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














