fbpx
Gambar ayam sejuk beku tular yang didakwa dibeli di sebuah pasar raya, di Port Dickson, yang sudah tamat tempoh kira-kira sebulan.

Tiga kali terbeli makanan sejuk beku tamat tempoh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PORT DICKSON – Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan (JKNNS) menyiasat dakwaan tular makanan sejuk beku yang dibeli seorang pelanggan di sebuah pasar raya di sini telah tamat tempoh selama sebulan.

Pengarahnya, Dr. Zuraida Mohamed berkata, setakat ini pihaknya masih belum menerima aduan berhubung perkara tersebut.

“Setakat ni saya tidak terima apa-apa aduan. Walaupun kami tidak terima aduan rasmi termasuk menerusi Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) atau lain-lain, siasatan tetap akan dilakukan.

“Siasatan akan dijalankan oleh Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM). Dalam kes seperti ini, makanan tamat tempoh akan dirampas dan dilupuskan. Peniaga juga boleh dikenakan kompaun,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Terdahulu, seorang pengguna media sosial berkongsi rasa tidak puas hati apabila membeli barangan yang didakwanya sudah tamat tempoh lebih sebulan dalam Facebook komuniti setempat.

Dakwa pengguna itu, kejadian tersebut bukan kali pertama berlaku, sebaliknya sudah tiga kali dia membeli barangan yang didapati sudah tamat tempoh.

“Beli beras berulat, beli susu expired (tamat tempoh), beli makanan frozen (sejuk beku) tamat tempoh lebih sebulan. Ayam sudah busuk. Kesabaran kami sudah hilang, sekali dua saya dan keluarga boleh buat pejam mata (abai) sahaja, tapi bila masuk kali ketiga?

“Alasan kakitangan tak munasabah. Kami sekeluarga membuat aduan kepada Kementerian Kesihatan. Mohon kepada sesiapa sahaja yang terlibat (dan) terima nasib yang sama (mohon) buat laporan. Ini bukan isu kecil,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN