PETALING JAYA – Terkilan dituduh sombong, pelakon Izara Aishah menepis fitnah bersikap sedemikian terutama selepas tular dakwaan tidak membenarkan seorang individu bersama ibunya memasuki lif.
Izara atau nama lengkapnya, Izara Aishah Hisham, 34, menyifatkan tuduhan yang tular dalam platform Threads sebagai fitnah sedangkan insiden berkenaan tidak pernah berlaku.
“Tak bagi masuk lif pula. Fitnah apa ini? Selalu kalau ‘kantoi’ pintu lif terbuka masa tengah beria posing maut, saya akan terkejut malu.
“Dah tak tahu nak letak muka dekat mana, lalu tengok dinding,” katanya dalam hantaran di laman sosial.
Terdahulu, seorang pengguna Threads mendakwa pelakon terbabit tidak membenarkan dia dan ibunya memasuki lif kerana sedang menjalani sesi fotografi.
Malah individu terbabit juga mendakwa pelakon drama Menyusur Rindu itu menjeling ke arah mereka.
Mengulas lanjut, Izara turut mempersoalkan identiti individu berkenaan selain menafikan dia mempunyai sebab untuk bersikap angkuh.
“Selalu yang akan kena jeling dengan saya, kru saya. Janganlah kata saya sombong. Tahulah saya ini Izara Aishah sahaja, tapi bila dah kenal saya, kenapa tanya lagi ‘kau siapa’.
“‘Kau itu siapa yang aku nak bersombong-sombong,'” katanya.
Menurutnya tindakan memberikan penjelasan adalah disebabkan mahu merungkai salah faham memandangkan pemahaman setiap insan dalam mana-mana situasi sangat berbeza, apatah lagi apabila membabitkan individu dikenali ramai.
“Saya kata selalunya. Saya pun tak ingat siapa awak. Saya dah banyak kali terserempak dengan orang dalam lif dan setiap kali reaksi mereka berbeza-beza. Kebiasaannya, memang begitulah reaksi saya.
“Tapi ya, saya faham ada orang yang boleh salah faham. Biasalah, bila bergelar artis, memang mudah dihina dan dijadikan sasaran. Itu saya masih boleh terima.
“Cuma dakwaan kononnya saya tak benarkan orang masuk lif itu memang paling tak masuk akal. Sebab itulah saya beri penjelasan,” ulasnya.
Menerusi ruangan komen, ramai netizen memberikan respons agar dia tidak membuang masa melayani hal seperti itu.
“Tiada gunanya pun Izara balas komen dia. Kalau tengok profilnya, memang dia jenis suka menulis panjang lebar untuk membesarkan isu kecil. Buang masa sahaja,” tulis netizen. – KOSMO! ONLINE














