KLANG – Sejumlah 10 buah kontena dari Amerika Syarikat berisi e-waste lebih 216 tan yang ‘tersorok’ lebih setahun lalu akhirnya terbongkar di Pelabuhan Barat, hari ini.
Pengesanan kesemua kontena dilakukan
Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) Pelabuhan Klang kira-kira pukul 9 pagi di tapak pemeriksaan CFS 4 pelabuhan itu.
Komander Kawalan Pintu Masuk Pelabuhan Klang AKPS, Datuk Nik Ezanee Mohd. Faisal berkata, hasil pemeriksaan mendapati enam kontena mengandungi e-waste manakala empat lagi berisi sisa plastik campuran.
Tegasnya, antara kandungan dikesan termasuk server, CPU, pendingin hawa mudah alih terpakai, campuran e-waste dan besi buruk serta sisa plastik campuran.
“Jumlah keseluruhan berat dagangan yang ditahan ialah 216,726 kilogram,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Nik Ezanee menjelaskan negara pengeksport bagi kesemua kontena ini ialah Amerika Syarikat.
“Kesemua kontena dibawa masuk seawal Disember 2024 hingga Julai 2025. Kemasukan Bahan Buangan Terjadual adalah dilarang sama sekali menurut Akta
Kualiti Alam Sekeliling 1974,” katanya. – KOSMO! ONLINE














