ISU rasuah di negara ini terus mencetuskan kebimbangan khususnya apabila ia melibatkan pegawai kanan dan institusi strategik negara seperti pertahanan.
Setiap pendedahan kes baharu bukan sahaja mencalar imej perkhidmatan awam, malah melemahkan keyakinan rakyat terhadap keupayaan kerajaan menegakkan prinsip integriti dan akauntabiliti.
Walaupun tindakan undang-undang terhadap individu terlibat penting, pendekatan ini bersifat reaktif dan tidak mencukupi jika punca sebenar rasuah tidak ditangani.
Menurut Ketua, Jabatan Perakaunan, Fakulti Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Malaya, Profesor Madya Dr. Noor Adwa Sulaiman, rasuah dalam sektor awam merupakan satu bentuk penipuan yang terancang.
“Ia melibatkan penyalahgunaan kuasa, manipulasi proses dan penyelewengan sumber awam demi kepentingan peribadi atau kumpulan tertentu.
“Dalam konteks ini, teori ‘segi tiga penipuan’ yang merangkumi tekanan, peluang dan rasionalisasi menyediakan kerangka yang lebih berkesan untuk memahami bagaimana rasuah boleh berlaku dan berulang dalam sistem pentadbiran awam,” katanya.
Tambahnya, elemen tekanan dalam sektor awam tidak terhad kepada masalah kewangan individu.
Tekanan juga boleh muncul dalam bentuk tuntutan politik, keperluan memenuhi sasaran prestasi organisasi serta desakan untuk melaksanakan projek berskala besar dalam tempoh singkat.
Dalam sektor berisiko tinggi seperti pertahanan, faktor kerahsiaan, peruntukan kewangan yang besar dan keperluan segera boleh mewujudkan persekitaran kerja yang menguji sempadan etika.
Namun, elemen paling signifikan dalam segi tiga penipuan ialah peluang.
Kata Noor Adwa lagi, peluang untuk rasuah wujud apabila kawalan dalaman lemah, pengawasan tidak menyeluruh dan akauntabiliti gagal dikuatkuasakan.
“Proses perolehan yang kompleks, pemilihan pembekal yang tidak telus, pemantauan kontrak yang longgar serta dokumentasi yang tidak lengkap membuka ruang luas kepada penyalahgunaan kuasa.
“Keadaan ini membuktikan bahawa rasuah bukan sekadar isu moral individu, sebaliknya berpunca daripada kegagalan sistem tadbir urus,” ujarnya.
Kongsinya lagi, rasionalisasi pula membolehkan salah laku diterima secara dalaman. Rasuah sering diselindungkan sebagai ‘ganjaran’, ‘amalan biasa’ atau pengorbanan kecil demi kepentingan tertentu.
“Apabila teguran audit berulang kali tidak disusuli tindakan tegas, rasionalisasi ini semakin menebal dan akhirnya membentuk budaya kerja yang menormalisasikan penipuan serta menghakis integriti.
“Usaha membanteras rasuah perlu bersifat pencegahan dan berstruktur dengan memutuskan rantaian segitiga penipuan. Pengukuhan kawalan dalaman mesti diberi keutamaan, termasuk pengasingan tugas, ketelusan proses kelulusan, pengisytiharan konflik kepentingan dan pemantauan kontrak yang berkesan,” ujarnya.
Jelas Noor Adwa, tanpa tindakan pembetulan yang konsisten, kelemahan yang sama akan terus berulang.
Akhirnya, kepercayaan rakyat terhadap institusi awam hanya dapat dipulihkan apabila setiap kelemahan dikenal pasti, ditangani dengan serius dan tidak dibiarkan berlarutan. -KOSMO! ONLINE














