PERKHEMAHAN solo selama tiga hari dua malam di Pulau Lang Tengah, Terengganu pada tahun lalu menjadi satu pengalaman yang tidak pernah saya bayangkan sebelum ini.
Saya bertolak dari Kuala Lumpur pada awal pagi dengan memandu seorang diri ke Jeti Merang, sebelum menaiki bot ke tapak perkhemahan.
Walaupun pernah bercuti ke beberapa pulau sebelum ini, namun itu kali pertama saya berkhemah di sebuah pulau secara solo.
Setibanya di Pulau Lang Tengah, perkara pertama yang mencuri perhatian saya adalah warna air lautnya yang biru jernih seperti dalam sebuah lukisan.
Pantainya bersih, pasirnya halus dan suasananya pula sudah tentu lebih tenang berbanding pulau-pulau popular lain.
Tanpa bunyi kenderaan dan kesibukan kota, saya benar-benar dapat merasakan ketenangan sepanjang berada di sana.
Rasanya seperti mahu terus meninggalkan kehidupan di kota dan menetap di sana.
Saya mendirikan khemah di tapak perkhemahan dengan bantuan pekerja di situ.
Pada awalnya, ada sedikit rasa bimbang kerana itu merupakan pengalaman pertama saya berkhemah di pulau seorang diri.

Namun, rasa takut itu perlahan-lahan hilang apabila saya mula menikmati rutin ringkas.
Misalnya, bangun dengan bunyi ombak, memasak makanan mudah seperti nasi goreng dan mi segera serta menghabiskan masa dengan membaca buku di atas hammock.
Lagipun, ada beberapa individu yang turut memasang khemah di situ, sekali gus menghilangkan rasa takut.
Memandangkan kali ini saya berkhemah secara solo, maka aktiviti yang dilakukan lebih santai.
Inti utama perkhemahan adalah untuk menghabiskan masa dengan diri sendiri sambil melihat air laut yang jernih dan langit hitam pada waktu malam.
Waktu petang pula, saya habiskan dengan duduk di pantai untuk melihat matahari terbenam sambil menikmati angin laut.
Berkhemah secara solo memberi saya ruang untuk berfikir dan mengenali diri sendiri.
Tiga hari dua malam terasa singkat, namun cukup untuk membuatkan saya jatuh cinta dengan pengalaman ini.
Pulau Lang Tengah bukan sahaja cantik dari segi pemandangan, malah memberi ketenangan jiwa.
Tanpa ragu, saya tahu ini bukan kali terakhir saya berkhemah di sini.
Rakan-rakan khemah saya ramai menyatakan hasrat untuk turut serta sekiranya saya berhasrat datang lagi ke sana kelak.














