PORT DICKSON – Kemunculan buaya di Kuala Lukut dan sekitar perairan Port Dickson sejak kebelakangan ini menimbulkan kebimbangan dalam kalangan nelayan dan penduduk setempat.
Terbaharu, seekor buaya sepanjang lima meter dilihat muncul di Sungai Lukut Kecil berhampiran sebuah taman perumahan kelmarin.
Penduduk Kuala Lukut, Muhammad Muizz Ariffin, 37, berkata, kehadiran buaya mula dikesan pada awal tahun ini, namun hanya di kawasan laut yang lebih jauh daripada penempatan penduduk.
“Namun sekarang haiwan itu dilihat makin menghampiri kawasan sungai dan jeti nelayan sehingga menyebabkan kami berasa bimbang. Semalam (kelmarin) terdapat laporan buaya muncul di Sungai Lukut Kecil.
“Sebelum ini saya pernah lihat buaya di kawasan laut. Kalau di sungai ini tidak pernah lagi. Saya tidak pasti dari mana ia datang, mungkin dari habitat asal di Kuala Lukut atau dari kawasan lain.
“Saya pernah ternampak seekor buaya bersaiz dewasa. Memang menakutkan kerana haiwan itu muncul berhampiran kawasan nelayan menjalankan aktiviti harian,” katanya ketika ditemui pemberita semalam.
Katanya, nelayan di Pengkalan Nelayan Kuala Lukut berdepan risiko kerana mereka perlu turun naik bot, memindahkan hasil tangkapan ke darat dan melakukan kerja-kerja menyelenggara bot di tebing sungai.
Lelaki itu berharap pihak berkuasa dapat menyelesaikan masalah ini dengan secepat mungkin demi keselamatan nelayan dan penduduk.
Seorang nelayan, Lim Tech Bu, 68, mendakwa pernah melihat dua ekor buaya bersaiz besar di Tanjung Gemuk menyebabkan dia dan rakan-rakannya lebih berwaspada ketika berada di laut dan muara.
Sementara itu, Penyandang Dewan Undangan Negeri Lukut, Choo Ken Hwa berkata, pihaknya memandang serius laporan kemunculan buaya di beberapa lokasi sekitar Port Dickson.
“Saya harap Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dapat mengambil tindakan susulan dan memaklumkan perkembangan terkini kepada penduduk dan pelancong,” katanya. -KOSMO! ONLINE














