SABAK BERNAM – Tindakan nekad tujuh pendatang asing tanpa izin (PATI) yang terjun ke laut dan bersembunyi di bawah jeti hampir sejam berakhir sia-sia apabila kesemuanya berjaya dicekup dalam serbuan di perkampungan nelayan Bagan Nakhoda, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1 pagi itu, kesemua PATI berkenaan dikejutkan dengan kehadiran pihak berkuasa ketika sedang nyenyak tidur sebelum masing-masing bertindak melarikan diri ke arah laut dan kawasan sekitar jeti.
Wartawan Kosmo! yang mengikuti operasi itu mendapati anggota serbuan terpaksa menggunakan bot bagi memburu kesemua suspek yang bertempiaran lari, termasuk yang menyelam dan bersembunyi di celahan bot nelayan serta struktur jeti.
Ada dalam kalangan mereka yang nekad menyorok di bawah kolong rumah usang dipenuhi sampah dan berbau busuk, dipercayai bagi mengaburi pasukan serbuan.
Seorang daripada mereka, lelaki warga Myanmar dikenali sebagai Suuk, 35, mengakui tindakannya terjun ke laut dilakukan kerana panik selepas menyedari kehadiran pihak berkuasa.
“Saya tidur dan tiba-tiba dikejutkan. Semua berlaku terlalu cepat, saya terus terjun ke laut kerana takut ditangkap.
“Tambahan saya kosong, tiada dokumen ,” katanya ketika ditemui selepas ditahan.
Menurut Suuk, dia telah bekerja sebagai nelayan di negara ini sejak dua tahun lalu dengan pendapatan sekitar RM1,500 sebulan, selain hanya bercuti pada hari Ahad.
Tambahnya, dia memasuki Malaysia secara haram dari Thailand sebelum diseludup masuk menggunakan bot nelayan tempatan dengan bayaran kira-kira RM3,000 kepada sindiket.
“Sudah dua tahun saya di sini tanpa dokumen. Dulu di negara asal, saya nelayan dan teruskan kerja itu di sini.
“Saya sudah berkahwin dan isteri berada di Myanmar namun kami belum punyai anak,” jelasnya.
Kesemua kini ditahan Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut. – KOSMO! ONLINE














