GEORGE TOWN – Dewan Usahawan Progresif Malaysia (MPE) terus komited memperkukuhkan kerjasama serantau, dalam usaha memperluaskan jaringan perniagaan antara usahawan Malaysia dan Thailand.
Presidennya, William Khoo berkata, usaha yang berterusan dilaksanakan menerusi kunjungan hormat ke Konsulat Jeneral Thailand di Pulau Pinang, kelmarin.
Menurutnya, pertemuan tersebut menjadi platform bagi memperkenalkan penganjuran Sidang Kemuncak Usahawan Muda ASEAN+3 yang bakal diadakan November nanti.
“MPE membentangkan visi dan matlamat sidang kemuncak itu yang memberi fokus kepada pembangunan usahawan muda, memperkukuh jaringan perniagaan rentas sempadan, menggalakkan inovasi serta menyokong pertumbuhan ekonomi serantau yang mampan.
“Kerjasama erat dengan Konsulat Jeneral Thailand diyakini mampu membuka lebih banyak peluang kepada usahawan tempatan untuk meneroka pasaran serantau dan mengukuhkan hubungan ekonomi dua hala,” katanya di sini, hari ini.
Dalam pada itu, pihak MPE berharap agar kunjungan tersebut menjadi asas kepada kerjasama strategik yang lebih luas pada masa hadapan, khususnya dalam memperkasa komuniti usahawan di rantau ASEAN.
“MPE turut merakamkan penghargaan kepada pihak Konsulat Jeneral Thailand atas layanan mesra dan sesi pertukaran pandangan yang disifatkan amat bermanfaat dalam memperkukuh hubungan antara kedua-dua pihak,” ujarnya.
William memberitahu, MPE berusaha mengetengahkan Pulau Pinang sebagai hab strategik keusahawanan belia di peringkat Asia Pasifik menerusi penganjuran ASEAN+3 Young Entrepreneurs Summit 2026.
Acara yang berlangsung pada 20 hingga 22 November nanti bakal menghimpunkan sehingga 500 delegasi dari seluruh negara ASEAN serta rakan kerjasama dari China, Hong Kong dan Taiwan.
Tambahnya, persediaan penganjuran Sidang Kemuncak Usahawan Muda ASEAN+3 melangkah ke fasa penting hasil kerjasama dan kelulusan sokongan rasmi daripada Kerajaan Negeri Pulau Pinang dalam menjayakan acara serantau berimpak tinggi itu. -KOSMO! ONLINE














