PETALING JAYA – Luahan anak kepada usahawan sensasi, Datuk Seri Vida iaitu Cik B, dalam Threads baru-baru ini mencuri perhatian ramai apabila dia mengakui berasa sunyi meskipun gembira melihat kebahagiaan ibunya.
“Mak Cik B dah bahagia, tapi Cik B rasa ‘lonely’ sebab dah kena kongsi kasih sayang,” tulisnya.
Ketika ini hubungan Vida dengan penyanyi dan cef selebriti Datuk Fazley Yaakob semakin menjadi perhatian ramai terutama mereka kini tidak lagi berselindung mengenai hubungan mesra dan dilihat beberapa kali berkongsi momen bersama dalam media sosial serta menghadiri acara secara terbuka.
Luahan Cik B atau nama sebenarnya Nur Edlynn Zamileen Muhammad Amin, 21, itu pantas mengundang pelbagai reaksi daripada netizen termasuklah Fazley sendiri
Menurut pelantun lagu Asmara Ini itu, Cik B tidak seharusnya berasa risau kerana kasih sayang ibu bapa tidak akan habis biarpun dikongsi.
“Cik B sayang, dida (Fazley) akan sentiasa ada di sini untuk kamu. Jangan risau okey.
“Kasih sayang seorang ibu itu terlalu besar, takkan habis walau dikongsi macam mana pun.
“Semuanya bermula dengan kamu. dan dida yakin doa kamu sangat hebat! Sayang kamu Cik B,” tulisnya.
Ramai netizen berpendapat kenyataan tersebut dibuat Cik B dalam nada berseloroh, namun tidak kurang juga yang melihatnya sebagai luahan jujur seorang anak yang sedang menyesuaikan diri dengan fasa baharu kehidupan ibunya.
Rata-rata netizen memberikan kata-kata semangat kepada Cik B dan memintanya agar memberi ruang kepada ibunya untuk menikmati kebahagiaan selepas sekian lama hidup tanpa kehadiran seorang lelaki di sisi.
Terdahulu, hubungan Vida dan Fazley mulai rapat selepas kedua-dua mereka terlibat dalam rancangan Talk To My Manager musim kedua beberapa bulan lalu.
Mereka berdua sering dilihat melakukan sesi ‘live’ bersama dalam TikTok serta bercuti di atas kapal persiaran mewah. – KOSMO! ONLINE














