fbpx
GAMBAR fail bertarikh 6 April lalu ketika Ismail Sabri (kiri) melihat keputusan SPM, Aisyah Maharuddin (dua dari kiri) ketika berkunjung ke kediamannya di Gemencheh, Tampin.

Bantuan Menara Gading bantu 13 calon SPM sambung pengajian – YKM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Nasib 13 anak naungan Yayasan Keluarga Malaysia (YKM) terus dibela selepas mereka menerima Bantuan Menara Gading yang akan mula disalurkan esok bagi melanjutkan pengajian ke peringkat tinggi selepas menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025.

Kesemua mereka menyambung pengajian dalam pelbagai laluan termasuk tingkatan enam, diploma, matrikulasi, asasi, sijil serta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Turut tersenarai menerima bantuan tersebut ialah pelajar cemerlang YKM SPM 2025 iaitu Aisyah Maharuddin (10A) yang bakal menyambung pelajaran di Kolej Matrikulasi Negeri Sembilan; Nurhanani Ainah Khafizan (9A) dan Nur Aqilah Alya Mohamad (9A) masing-masing melanjutkan pelajaran dalam program Asasi di UiTM Dengkil selama setahun.

Jumlah itu mewakili 40 peratus daripada 33 anak-anak YKM yang menduduki peperiksaan utama tersebut pada tahun lalu.

Pengerusi YKM yang juga bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kejayaan tersebut membuktikan bahawa sokongan pendidikan yang berterusan mampu membuka laluan lebih baik kepada anak-anak daripada keluarga yang memerlukan.

“Tahniah kepada semua anak-anak YKM yang berjaya melangkah ke menara gading. Kejayaan ini membuktikan bahawa dengan dorongan, disiplin dan sokongan yang tepat, mereka mampu membina masa depan yang lebih baik.

“Namun, peratusan anak-anak YKM yang menyambung pelajaran masih perlu dipertingkatkan. YKM mensasarkan lebih separuh daripada pelajar lepasan SPM di bawah naungannya meneruskan pengajian ke peringkat seterusnya setiap tahun,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata, bantuan tunai itu akan mula dikreditkan ke akaun penerima bermula esok bagi membantu meringankan perbelanjaan awal sebelum memasuki kampus.

“Bantuan ini adalah sokongan awal yang bermakna untuk membantu mereka memulakan perjalanan di kampus dengan lebih yakin. YKM akan terus berdiri bersama mereka dalam usaha mengejar ilmu dan membina masa depan yang lebih baik,” katanya.

Ahli Parlimen Bera itu turut memberi komitmen bahawa selagi YKM mempunyai kemampuan kewangan, yayasan itu akan terus memastikan anak-anak di bawah naungannya tidak tercicir daripada peluang mendapatkan pendidikan berkualiti. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN