KUALA LUMPUR – Seorang lagi anggota kumpulan jenayah terancang ‘Geng Kapten Praba’ yang dikehendaki ditahan di Bangkok, Thailand sebelum dibawa pulang ke Malaysia.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, suspek ditahan semalam berdasarkan waran tangkap yang dikeluarkan Mahkamah Sesyen Sepang pada 14 Januari 2026.
Beliau berkata, penangkapan tersebut hasil kerjasama dan bantuan pihak berkuasa tempatan di Bangkok, Thailand sebelum suspek dibawa pulang ke Malaysia menerusi Operasi Jack Sparrow.
“Suspek kini disiasat di bawah Seksyen 130V Kanun Keseksaan berkaitan kesalahan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang.
“Selain itu, suspek turut disyaki terbabit dalam satu kes di kawasan Subang Jaya pada awal tahun ini yang disiasat mengikut Seksyen 326 dan memiliki senjata maut dalam rusuhan yang disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Dalam pada itu, PDRM turut merakamkan penghargaan kepada pihak berkuasa Thailand atas kerjasama erat yang diberikan, selain menegaskan komitmen berterusan menegakkan kedaulatan undang-undang demi keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat.
Terdahulu, tiga lelaki yang juga suspek utama Ops Jack Sparrow ditahan di Mumbai, India pada Ahad lalu sebelum tiba KLIA Rabu lalu.
Pada 11 September tahun lalu, pihak polis menjalankan operasi bersepadu di beberapa negeri yang dikenali sebagai Ops Jack Sparrow ke atas kumpulan jenayah terancang itu yang mempunyai 33 ahli dengan individu yang digelar ‘Kapten Praba’ dikenal pasti sebagai ketua kumpulan.
Mereka dipercayai terbabit dalam pelbagai jenayah kekerasan, termasuk pembunuhan, serangan menggunakan senjata berbahaya, samun berkumpulan serta kes khianat dengan api. – KOSMO! ONLINE














