LUMUT – Kes penemuan mayat lelaki di Sungai Jambatan Kampung Lubuk, Changkat Keruing, Sitiawan pada 29 Januari lalu diklasifikasikan sebagai kes bunuh.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Hasbullah Abd. Rahman berkata, pihaknya di pondok polis Changkat Keruing menerima panggilan daripada orang awam mengenai penemuan mayat itu kira-kira pukul 5.30 petang hari berkenaan.
“Mereka dimaklumkan mengenai penemuan satu mayat lelaki bangsa tidak pasti dalam keadaan terapung dan mereput di Sungai Jambatan Kampung Lubuk, Changkat Keruing. Siasatan awal pihak polis di tempat kejadian mendapati mayat lelaki tersebut dalam keadaan terapung, separuh bogel dan hanya berbaju-T warna biru bertulisan Prada tanpa seluar,” katanya di Manjung hari ini.
Hasbullah berkata, operasi untuk mengangkat mayat tersebut telah berjaya dilakukan dengan bantuan pihak bomba Pantai Remis dan tiada sebarang dokumen pengenalan diri dijumpai pada tubuh badan si mati.
“Pada 30 Januari 2026, pegawai perubatan Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun Ipoh mengesahkan punca kematian si mati disebabkan kecederaan di kepala akibat hentakan objek tumpul,” katanya.
Justeru, beliau meminta orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kes itu untuk menghubungi pegawai penyiasat Asisten Superintendan Mohd. Azalan Ab. Karim di talian 019-3927837.
Katanya, orang ramai juga boleh menghubungi bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung di talian 05-6886222 atau talian hotline WhatsApp 017-6828005 bagi membantu siasatan pihak polis. – KOSMO! ONLINE














