Ahmad Nubhan juga bijak mengatur masa antara pelajaran dan perniagaan.

Ahmad Nubhan, siswa UniSZA aktif berbisnes bantu keluarga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEAWAL usia 24 tahun, jejaka bernama Ahmad Nubhan Suhaili sudah membuktikan bahawa dunia akademik dan keusahawanan mampu bergerak seiring.

Mahasiswa semester tujuh jurusan Ijazah Sarjana Muda Antropologi Dakwah di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) juga dibesarkan dalam persekitaran keluarga yang aktif dalam menjalankan perniagaan kecil-kecilan.

Anak keempat daripada lima beradik itu berkata, sejak di bangku sekolah dia sudah biasa membantu keluarganya berniaga.

Bermula dengan tugas asas seperti mengurus jualan, melayan pelanggan dan memantau stok, pengalaman itu secara tidak langsung menyemai minatnya terhadap dunia perniagaan.

Bagi Ahmad Nubhan, perniagaan bukan sekadar soal keuntungan tetapi satu proses pembelajaran tentang disiplin, tanggungjawab dan kesungguhan.

“Langkah awal saya dalam dunia bisnes bermula apabila terlibat secara langsung dalam perniagaan makanan keluarga.

“Pada peringkat awal, saya memainkan peranan penting dalam operasi harian termasuk penyediaan makanan, urusan pelanggan serta pengurusan kewangan asas.

“Pengalaman ini membuka mata saya terhadap realiti sebenar dunia perniagaan yang menuntut kesabaran dan ketahanan mental,” katanya kepada K-Kampus.

Jelasnya, dorongan untuk lebih serius dalam bisnes hadir daripada keinginan berdikari serta membantu meringankan beban keluarga.

Ahmad Nubhan percaya bahawa ilmu akademik perlu diseimbangkan dengan pengalaman praktikal agar mahasiswa lebih bersedia menghadapi cabaran dunia sebenar usai tamat pengajian.

Ketika ini, dia terlibat dalam perniagaan makanan dan minuman yang beroperasi di beberapa lokasi sekitar Terengganu, termasuk perniagaan yang menyasarkan golongan pelajar dan masyarakat setempat.

Penglibatan aktif dalam bisnes ini secara tidak langsung membentuk kemahiran insaniah seperti kepimpinan, komunikasi, pengurusan masa serta kebolehan membuat keputusan dalam mengembangkan perniagaan keluarga.

PERNIAGAAN makanan Warung Bob milik keluarga Ahmad Nubhan di Terengganu.

Akui Ahmad Nubhan, jalan yang dilaluinya tidak mudah kerana perlu berdepan dengan pelbagai cabaran, antaranya memastikan kualiti makanan sentiasa terjaga, mengurus pekerja dengan berkesan serta mengawal kos operasi yang meningkat apabila bisnes berkembang.

Namun, pembahagian peranan yang jelas dalam keluarga menjadi kekuatan utama dalam memastikan kelangsungan perniagaan.

“Bagi saya, nilai kekeluargaan seperti kejujuran, disiplin dan amanah menjadi tunjang utama dalam perniagaan.

“Saya percaya rezeki yang berkat hadir daripada keikhlasan dalam bekerja serta komitmen menjaga kepuasan pelanggan.

“Antara cabaran paling sukar yang pernah dihadapi ialah tekanan apabila jualan menurun, terutamanya pada peringkat awal perniagaan.

“Namun, pengalaman tersebut mengajar saya bahawa kegagalan bukan penamat, sebaliknya peluang untuk belajar dan memperbaiki kelemahan,” ujarnya.

Kesabaran dan konsistensi menjadi kunci utama untuk dirinya berjaya.

Sebagai mahasiswa, Ahmad Nubhan juga bijak mengatur masa antara pelajaran dan perniagaan.

Dia menyusun jadual harian yang teratur dengan meletakkan keutamaan kepada komitmen akademik.

Urusan perniagaan pula diuruskan di luar waktu kuliah dan pada hujung minggu sambil dibantu oleh ahli keluarga serta pekerja lain.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN