fbpx
Malek Razak.

Malek Razak dilantik Panglima Angkatan Tentera mulai 1 Februari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Bekas Panglima Medan Barat Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman dilantik sebagai Panglima Angkatan Tentera (PAT) berkuat kuasa 1 Februari ini.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamef Khaled Nordin berkata, pelantikan PAT baharu itu dibuat selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.

Jelas beliau, PAT baharu itu juga telah dinaikkan ke pangkat Jeneral.

“Pelantikan ini dibuat selaras dengan syor Mesyuarat Majlis Angkatan Tentera Siri ke-633 (Khas) yang bersidang pada 29 Januari 2026, dan seterusnya telah mendapat perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada 30 Januari 2026,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata, berdasarkan pengalaman luas serta kredibiliti yang dimiliki, Kementerian Pertahanan yakin pelantikan ini akan memperkukuh kepimpinan dan keupayaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam mendepani cabaran pertahanan negara.

Di samping itu juga katanya, dapat memulihkan dan memperkukuh wibawa ATM melalui kepimpinan yang berteraskan integriti dan profesionalisme serta mengekalkan kepercayaan rakyat terhadap institusi pertahanan negara.

Sebagai makluman, Malek Razak memiliki kelulusan Diploma Strategik dan Keselamatan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Master of Arts in Defence Studies dari King’s College London serta Sarjana Sains Sosial (Pengajian Pertahanan) dari UKM.

Perkhidmatan beliau bermula pada tahun 1985 sebagai Pegawai Kadet Luar Negara di Royal Military College, Sandhurst, United Kingdom, dan telah ditauliahkan pada 11 Disember 1987 dengan pangkat Leftenan Muda.

Sepanjang hampir 40 tahun perkhidmatan, beliau telah mempamerkan kebolehan, keupayaan, kecemerlangan serta kepimpinan yang tinggi.

Beliau memulakan kerjaya sebagai Ketua Platun di Batalion ke-21 Rejimen Askar Melayu Diraja dan kemudiannya berkhidmat di pelbagai pasukan serta memegang pelbagai jawatan di peringkat pemerintah dan staf. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI