BEIJING – Penduduk di selatan China menyertai pasukan penyelamat memburu beratus-ratus ular yang terlepas dari sebuah ladang ternakan ular yang tenggelam selepas Taufan Maysak menyebabkan banjir di Hengzhou, Wilayah Autonomi Guanxi Zhuang, lapor laman berita VnExpress.
Rakaman video kejadian menunjukkan penduduk kampung di kawasan yang ditenggelami air menggunakan jala untuk menangkap ular.
Malah, seekor ular tedung dilihat muncul dari dalam air banjir sebelum penduduk meneruskan pencarian dan menangkap semula ular yang masih hidup.
Pihak berkuasa tempatan berkata, dianggarkan 800 hingga 900 ekor ular termasuk spesies tedung berbisa, terlepas apabila ladang di Hengzhou itu dilanda banjir, Isnin lalu.
Seorang penduduk kampung turut dipatuk ular dan kini menerima rawatan kecemasan.
Menurut media tempatan, banjir menyebabkan takungan air di Liulan dan Yunbiao pecah seterusnya menenggelamkan komuniti di kawasan rendah serta menghanyutkan beberapa ladang ternakan ular berskala kecil.
Pihak berkuasa menggerakkan pasukan kecemasan untuk menangkap semula reptilia yang terlepas dan memberi amaran kepada penduduk agar mengelakkan kawasan banjir sepanjang operasi dijalankan. – AGENSI














