PETALING JAYA – Pelarasan gaji baharu fasa kedua yang dinikmati golongan penjawat awam baru-baru ini menjadikan mereka sebagai sasaran utama pihak bank termasuk syarikat kewangan yang menawarkan pelbagai pakej pinjaman.
Tidak hanya tawaran bagi membuat pinjaman baharu dan kad kredit, ada juga penjawat awam yang ‘dikejar’ agensi pelaburan dan insurans dengan tawaran masing-masing.
Situasi itu menyebabkan ramai penjawat awam tidak senang duduk dan berasa rimas apabila mereka menerima pelbagai mesej dan panggilan telefon daripada pihak tidak dikenali sejak awal tahun ini.
Pelarasan gaji Fasa 2 sebanyak tujuh peratus mula dinikmati penjawat awam pada 22 Januari lalu selepas mereka memperoleh kenaikan gaji baharu sebanyak lapan peratus bagi Fasa 1 pada Disember 2024.
Menerusi pelarasan di bawah Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) itu, setiap penjawat awam dari kategori pelaksana dan pengurusan serta profesional menikmati kenaikan sehingga RM1,200 bergantung kepada gred.
Di George Town, rata-rata penjawat awam di negeri ini menerima puluhan panggilan telefon dan mesej pesanan khidmat ringkas (SMS) daripada pihak bank sejak dua minggu lalu.
Seorang anggota keselamatan, Ramzi Ahmad, 48, berkata, dia menerima tawaran berbentuk pinjaman baharu selain pinjaman bertindih atas pinjaman lama yang ditawarkan oleh sebuah bank.
Menurut bapa kepada enam anak itu, tawaran menarik yang diberikan itu membuatkan dia perlu lebih berhati-hati terutama memikirkan risiko yang bakal dihadapi di kemudian hari.
“Memang saya ada membuat pinjaman peribadi dan pinjaman pembelian kereta dengan satu agensi bank. Kali ini, mereka (bank yang sama) menawarkan pinjaman baharu atau overlap untuk satukan semua pinjaman tersebut bagi membantu mengurangkan komitmen bulanan.
“Saya risau, takut (pinjaman baharu) tersasar daripada matlamat asal. Bimbang juga berdepan masalah jika lanjut tempoh pinjaman termasuk bila sudah pencen pun masih kena biaya pinjaman bank.
“Kalau boleh memang mahu elak tanggung bebanan lanjut hutang tapi terpaksa lakukan jika keadaan kewangan ketika ini tidak mengizinkan,” katanya kepada Kosmo!.
Seorang lagi penjawat awam, Puan Lina, 49, memberitahu, dia juga berdepan nasib sama apabila sering menerima panggilan telefon daripada pihak bank yang menawarkan pinjaman kad kredit.
“Mereka menawarkan pelbagai inisiatif bagi pinjaman kad kredit termasuk ganjaran tunai (cashback), mata bonus serta diskaun promosi.
“Dengar agar menarik dan banyak manfaat tetapi bagi saya, cukuplah sekadar memegang hanya satu kad kredit dan satu kad debit. Penggunaan dua kad yang serentak membolehkan pengurusan kewangan yang fleksibel,” katanya.
Di Kuala Terengganu, seorang penjawat awam, Siti Jamilah Hanim Jamil, 42, berkata, dia mula rasa tidak selesa apabila kerap dihubungi individu mengaku pegawai bank dengan tawaran pinjaman peribadi.
“Mereka pujuk saya agar mohon pinjaman peribadi baharu bagi menyatukan hutang-hutang sedia ada.
“Panggilan itu semakin kerap sejak minggu lalu sewaktu penjawat awam seperti saya baru menerima kenaikan gaji baharu,” katanya.
Siti Jamilah Hanim berkata, dia sebolehnya tidak mahu menambah hutang baharu sedangkan gaji diterimanya itu sepatutnya disalurkan kepada perkara lebih penting demi masa depan keluarga terutama anak-anaknya.
Kamaruddin Abdul Karim, 50, pula berkata, selain pihak bank, ada juga pihak mengaku dari syarikat insurans dan takaful yang menghubunginya baru-baru ini.
“Tidak cukup panggilan telefon, saya juga menerima tawaran skim takaful dan insurans menerusi email, sistem kiriman ringkas (SMS) dan aplikasi WhatsApp.
“Bagaimana boleh dapat butiran email dan nombor telefon saya. Mereka seakan tahu saya baru mendapat kenaikan gaji,” katanya.
Di Melaka, ramai penjawat awam di negeri ini turut menerima panggilan daripada ejen perunding kewangan yang menawarkan pinjaman peribadi serta pekej-pekej lain.
Seorang tenaga pengajar di sebuah kolej, Azwar Kamaruzaman, 31, berkata, dia terkejut apabila ejen perunding itu mengetahui setiap butiran peribadi saya sebelum menawarkan pinjaman peribadi.
“Mereka hubungi dan menyebut nama penuh saya untuk pastikan identiti, kemudian memperkenalkan diri sebagai perunding dan ejen kewangan iaitu pihak ketiga yang akan berurusan dengan bank.
“Saya agak pelik sebab perkara ini tidak pernah berlaku sebelum ini. Tidak pasti juga sama ada mereka itu dari syarikat kewangan yang sah ataupun scammer,” katanya.
Di Kuala Terengganu, seorang kakitangan majlis agama Islam negeri mengaku kenaikan gaji yang dinikmati penjawat awam baru-baru ini seharuskan digunakan untuk perkara lain dan bukannya sebagai ‘tiket’ untuk menambah hutang.
Nurul Atiqah Amirudin, 39, itu berkata, panggilan atau WhatsApp diterimanya ini juga bukannya baharu, tetapi sudah dihadapinya sejak tahun lalu.
“Apabila ada berita baik membabitkan penjawat awam seperti bonus tahunan, mereka ini mula buat kerja. Ada sahaja panggilan atau WhatsApp yang akan diterima siang malam,” katanya.















