PETALING JAYA – Tindakan seorang pelanggan meminta untuk membuat pulangan semua tudung selepas tiada warna yang sesuai dengan bajunya mencetuskan kemarahan ramai.
Hantaran pengguna Threads @Syfqmzli_, dipercayai peniaga dalam talian berkongsi menerima permintaan untuk pulangan semula enam helai tudung dalam pelbagai tona warna kelabu.
“Tak faham perangai orang tak ada ‘common sense’ (pertimbangan wajar) macam ini. Kita pun kadang jadi pelanggan juga, tapi tak ada sampai macam ini.
“Beli semua tona warna kelabu semata-mata nak padankan dengan baju dia. Ingat kita bagi ‘display’ (paparan) sahaja ke? Semua itu kos,” katanya.
Menjengah ke ruangan komen, ramai pengguna turut mengecam tindakan pelanggan dipercayai menyusahkan selain mencadangkan untuk membeli tudung di kedai.
“Orang macam itu menyusahkan. Beli sahaja di kedai kalau nak cari padanan warna yang sesuai dengan baju,” komen @Mnrsyh_.
“Pemalas nak pergi kedai sampai sanggup beli dalam talian. Mudah betul minta pulangkan barang bila tak sesuai,” komen @Anatiasilah.
“Kalau nak padankan sangat dengan baju, beli tudung pasar malam sahaja. Bawa sekali baju kau itu, dasar menyusahkan,” komen @Isny.izzati. – KOSMO! ONLINE














