MELAKA – Naib Canselor Kolej Universiti Manipal Malaysia (MUCM) didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memperdayakan bekas rakan sejawat bagi lantikan ketua perunding akademik dengan bayaran RM20,000, lima tahun lalu.
Tertuduh, Prof. Dr. G. Jayakumar, 64, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh yang ketika itu merupakan pensyarah kanan di MUCM memperdayakan Naib Canselor MUCM bagi melantik pensyarah Universiti Perdana Kuala Lumpur pada waktu itu sebagai Ketua Perunding Program Kurikulum dan Pembangunan Akademik di MUCM dengan bayaran RM20,000.
Ia bagi membangunkan modul Program Terapi Pekerjaan untuk MUCM, walaupun tertuduh mengetahui lantikan tersebut melanggar kontrak kerja dan Universiti Perdana. Perbuatan dilakukan di Pejabat MUCM dalam daerah Melaka Tengah pada 3 Mei 2021.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Sharina Farhana Nor Sa’ari mencadangkan jaminan RM20,000 dikenakan berserta syarat tambahan perlu melapor diri setiap bulan di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Melaka.
Peguam Azrul Zulkifli Stork yang mewakili tertuduh tidak membantah. Mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM20,000 dan bersetuju dengan syarat tambahan yang dipohon pihak pendakwaan. Sebutan semula kes ditetapkan pada 9 Mac ini.














