PETALING JAYA – Aktiviti penyeludupan sisa elektronik (e-waste) ke negara ini dipercayai semakin membimbangkan apabila sebanyak 2,000 hingga 3,000 kontena disyaki dibawa masuk secara haram melalui pelabuhan utama.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya berkata, hasil risikan mendapati sisa tersebut diimport oleh syarikat yang dipercayai dimiliki warga asing kononnya bagi tujuan kitar semula.
“Syarikat-syarikat terbabit mengimport sisa elektronik, plastik dan kertas, namun hanya komponen bernilai tinggi seperti tembaga, aloi dan emas diambil,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut beliau, baki sisa itu kemudian dilupuskan secara tidak terkawal termasuk dibakar, ditanam atau dibuang sehingga berpotensi mencemarkan udara dan air.
Katanya, pihaknya tidak menolak kemungkinan kegiatan itu turut dilindungi oleh pihak tertentu yang sepatutnya bertanggungjawab mengekang kemasukan sisa pepejal ke negara ini.
“Jika tidak dibanteras secara menyeluruh, kegiatan tersebut boleh mengakibatkan pencemaran alam sekitar yang serius serta menjejaskan keselamatan dan kesihatan awam,” ujarnya.
Bagi menangani isu itu, Mesyuarat Petugas Khas Berkaitan Penguatkuasaan E-Waste ditubuhkan melibatkan 12 agensi penguat kuasa termasuk SPRM, Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.
Tambahnya, petugas khas tersebut akan meneliti keperluan perundangan berkaitan e-waste selain memperkukuh tindakan penguatkuasaan bagi memastikan aktiviti penyeludupan dapat dibanteras sehingga ke akar umbi.
“SPRM memandang serius perkara ini dan memberi amaran kepada mana-mana pihak termasuk pegawai penguat kuasa yang terlibat supaya menghentikan sebarang bentuk pengimportan e-waste secara haram,” katanya. – KOSMO! ONLINE














