KUALA LUMPUR – Kegiatan memproses sisa elektronik (e-waste) secara haram di dua premis sekitar Selangor terbongkar selepas diserbu dalam Op Hazard yang dilaksanakan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman semalam.
Komander Wildlife Crime Bureau/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK) KDNKA Bukit Aman, Datuk Mohd. Zaki Ashar berkata, operasi dijalankan hasil risikan pihaknya bersama Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat dan Jabatan Alam Sekitar Sepang.
Menurut beliau, serbuan dilakukan secara serentak di dua lokasi melibatkan stor dan premis aktiviti pemprosesan sisa elektronik.
“Hasil operasi, seramai 24 lelaki warga asing dan seorang wanita warga asing berusia antara 19 hingga 50 tahun berjaya ditahan bagi membantu siasatan.
“Turut dirampas sebanyak 347,000 kilogram e-waste yang telah dileraikan, lima unit kompresor, satu unit sistem pengumpul habuk, empat tong gas, mesin kitar semula air, dua unit ketuhar serta cerobong asap,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelasnya, keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM1.256 juta.
Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 18 dan Seksyen 19 Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 serta Seksyen 38(1)(a) akta sama.
Menurut beliau, Majlis Perbandaran Kuala Langat turut mengeluarkan kompaun RM1,000 dan notis pemberhentian perniagaan terhadap premis terbabit.
Mohd. Zaki berkata, bagi tempoh 1 Januari hingga hari ini, pihaknya telah melaksanakan 158 serbuan di seluruh negara melibatkan pelbagai kesalahan termasuk penyeludupan barang tidak berkastam, ketirisan barang kawalan, penjualan senjata tiruan, penyeludupan hidupan liar dan operasi e-waste.
“Sepanjang tempoh itu, seramai 335 individu berjaya ditahan hasil operasi dijalankan,” ujarnya.
Beliau turut menggalakkan orang ramai terus menyalurkan maklumat kepada polis bagi membantu membanteras kegiatan jenayah seumpama itu. – KOSMO! ONLINE














