KUALA LUMPUR – Tentangan yang cuba dijelmakan UM-Damansara United nyata belum cukup apabila tewas 0-2 kepada Terengganu pada aksi pusingan 16 Piala Malaysia di Stadium UM Arena, sebentar tadi.
Walaupun hadir selaku wakil Liga A1 Semi Pro, kemahuan dan keazaman tinggi yang ditonjolkan skuad kendalian Ridzuan Abu Shah wajar dipuji hingga beri kesukaran buat pelawat mencari bekal lebih selesa.
Terengganu yang ambil keputusan merehatkan beberapa tonggak utama memulakan perlawanan dengan cemerlang apabila membuka jaringan seawal minit kelima menerusi Raianderson Da Costa Morais.
Walaupun pelawat dilihat lebih selesa untuk mengawal permainan, pemain UM-Damansara United kekal bersemangat untuk cipta kejutan.
Skrip hampir sama terus berulang di separuh masa kedua, menyaksikan tuan rumah sentiasa mengekalkan disiplin khususnya ketika melaksanakan tugasan bertahan.
Selepas beberapa kali dihimpit kecewa kerana gagal menyudahkan peluang dengan lebih baik, minit ke-78, usaha kapten tuan rumah, Shivan Pillay untuk meredakan situasi bahaya bertukar tragedi apabila bola sepakannya menerjah ke gawang sendiri.
Ketinggalan dua gol tidak mematahkan semangat tuan rumah yang dilihat terus berusaha mencari gol pertama namun gerakan diatur tidak membuahkan hasil.
Kedua-dua pasukan akan bertemu sekali lagi di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Jumaat ini. – KOSMO! ONLINE














