fbpx
Gambar hiasan.

ATM tegaskan komitmen perkukuh tatakelola dan integriti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Panglima-Panglima (JPP) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menegaskan komitmen kepimpinan tertinggi pasukan itu dalam memperkukuh tatakelola, integriti dan keutuhan institusi pertahanan negara susulan isu semasa yang melibatkan ATM.

JPP yang dianggotai Panglima Tentera Laut selaku Pemangku Panglima Angkatan Tentera, Panglima Tentera Darat dan Panglima Tentera Udara memaklumkan, isu berkenaan telah diteliti secara menyeluruh bagi memastikan kestabilan institusi serta keyakinan rakyat terhadap ATM terus terpelihara.

JPP dalam kenyataan berkata, ATM memandang serius sebarang isu tatakelola dan penyalahgunaan kuasa serta sedang melaksanakan langkah pembaikan dan penambahbaikan pengurusan serta pentadbiran secara berfakta dan berlandaskan peruntukan undang-undang sedia ada, selari dengan amanat Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, pada 12 Januari lalu.

“JPP meminta semua pihak memberi ruang sewajarnya kepada ATM untuk memperbetulkan keadaan melalui mekanisme yang ditetapkan tanpa sebarang tekanan atau spekulasi.

“JPP turut menyeru seluruh pegawai dan anggota ATM agar kekal bersatu, berdisiplin serta mematuhi undang-undang dan peraturan, sambil menegaskan bahawa ATM tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk ketidakpatuhan,” menurut kenyataan itu hari ini.

Tambah kenyataan itu, ATM menghormati kebebasan orang awam untuk menyuarakan pandangan secara bertanggungjawab, namun mengingatkan bahawa penyebaran maklumat tidak sahih dan bersifat spekulatif boleh menjejaskan imej pasukan keselamatan negara.

“JPP memberi jaminan ATM akan terus berdiri sebagai institusi pertahanan negara yang profesional, berintegriti dan diyakini dalam mempertahankan kedaulatan serta keselamatan Malaysia,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI