fbpx
Mohamed Khaled melancarkan PSPN dan RTKP 2026-2030 sambil disaksikan oleh Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Malek Razak Sulaiman dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Lokman Hakim Ali. – FAUZI BAHARUDIN

PSPN 2026-2030, RTKP benteng pertahanan kedaulatan negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KETIDAKTENTUAN geopolitik, ancaman keselamatan rentas sempadan dan perkembangan teknologi pesat menuntut negara untuk mempertahankan kedaulatan de­ngan mempertingkatkan tahap ke­siapsiagaan secara berterusan.

Menyedari keperluan itu, Kementerian Pertahanan (MINDEF) melancarkan dua dokumen strategik iaitu Pelan Strategik Pertaha­nan Negara 2026–2030 (PSPN) dan Rangka Tindakan Kapasiti Perta­hanan (RTKP).

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin ­berkata, dokumen-dokumen itu hasil penggemblengan idea, tenaga dan ke­pakaran pelbagai pihak di MIN­DEF dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta rakan-rakan strategik.

“Ketidaktentuan geopolitik du­­nia, perkembangan teknologi ­dis­rup­tif seperti kecerdasan buatan dan sistem automasi, ancaman bu­kan bersenjata yang semakin kom­pleks, semuanya mengubah lands­kap keselamatan dan perta­hanan secara drastik.

“Konflik bersenjata yang berla­rutan seperti di Asia Barat dan Ukraine masih memberi kesan lang­sung kepada kestabilan glo­bal. Pe­rubahan inilah yang telah kita te­liti dalam Kajian Separuh Penggal Kertas Putih Pertahanan, bagi memperbaiki kelompongan dan mem­bina perancangan pertahanan ne­gara lebih responsif dan adaptif.

“Daripada situ, lahirlah PSPN 2026-2030, sebagai kesinambu­ngan dan penambahbaikan kepada Pe­lan Strategik Mindef yang lalu. PSPN akan terus menyokong Kertas Putih Pertahanan dengan berlandaskan tujuh Teras Strategik,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran PSPN 2026-2030 dan RTKP 2026-2030 di sini semalam.

Kakitangan MINDEF membaca buku PSPN dan RTKP selepas dilancarkan di Kuala Lumpur semalam.

Tujuh teras strategik itu melipu­ti Teras 1: Memperkasakan Keupa­yaan dan Mencapai Kesiagaan ATM dalam Melindungi Kepentingan Ne­gara, Teras 2: Pengukuhan Kapasiti Pertahanan yang Kompeten, Teras 3: Pelestarian Kesejahteraan Warga Kerja Pertahanan dan Teras 4: Pemerkasaan Kerjasama Awam-Tentera (CIMIC) bagi Menyokong Kon­sep Pertahanan Menyeluruh (HAN­RUH).
Teras 5: Pembangunan Sains, Tek­nologi, Inovasi dan Industri Per­tahanan, Teras 6: Pengukuhan Hu­bungan Pertahanan Antarabangsa Dalam Menjamin Negara, manakala Teras 7: Pemerkasaan Kesejahteraan Veteran ATM.

Beliau berkata, tiada organisasi, apatah lagi negara, boleh berjaya tanpa pelan yang jelas, justeru MINDEF mempunyai pelbagai cita-cita untuk membangunkan Angkatan Masa Hadapan, memperkasa industri pertahanan tempatan, membina daya tahan negara yang kuat dan sebagainya.

“Tetapi semua itu hanya a­ngan-angan jika tanpa perancangan ter­susun, keutamaan jelas dan ­disiplin pelaksanaan yang tinggi.

Pelan ini akan membantu kita menguruskan dan mengagihkan sumber negara dengan cekap dan efektif bagi mencapai objektif disasarkan.

“Dalam PSPN, kita akan mem­per­kemas budaya pemantauan ­prestasi dan akauntabiliti melalui sistem pe­mantauan bersepadu, ­semakan ber­kala dan pelaporan yang lebih sis­tematik.

“Kementerian akan memanfaatkan platform, seperti Pestra (Sistem Pengurusan Pelan Strategik Bersepadu) MINDEF untuk menyelaras kemajuan pelaksanaan pelan ber­asaskan data dan hasil,” katanya.

Mohamed Khaled berkata, pe­lan yang baik tidak akan memba­wa makna tanpa kapasiti dan sum­ber untuk menyokong dan me­laksanakannya dan atas sebab itu, pelancaran PSPN turut disertai de­ngan pelancaran RTKP.

Ia menggariskan tujuh Teras Stra­tegik dan diperincikan kepada 29 strategi utama serta didukung oleh 103 inisiatif khusus yang dirangka secara komprehensif dan menyeluruh.

“Jika PSPN menentukan ke mana kita ingin pergi, RTKP pula memastikan kita mempunyai keupayaan untuk sampai ke sasaran tersebut. Melalui RTKP, kementerian memberikan jaminan untuk memastikan pengurusan kapasiti yang teratur bagi memenuhi keperluan PSPN,” ujarnya.

RTKP 2026-2030 merupakan dokumen sokongan kepada KPP 2021–2030 yang menyediakan hala tuju pembangunan kapasiti perta­hanan negara melalui pendekatan HANRUH dan Keseluruhan Kerajaan serta Keseluruhan Masyarakat.
Ia dibangunkan berasaskan da­patan Kajian Separuh Penggal KPP bagi memperkukuh kesiapsiagaan pertahanan negara dalam menghadapi cabaran keselamatan yang semakin kompleks dan dinamik.

RTKP memberi tumpuan kepada pembangunan warga pertahanan merangkumi anggota ATM, Angkatan Sukarela, veteran ATM, warga awam pertahanan dan rakyat serta digerakkan melalui tiga teras utama iaitu meningkatkan keberkesanan tenaga kerja pertahanan, menyemai semangat patriotisme serta me­mupuk bakat dalam bidang sains, teknologi dan perta­hanan.

Mohamed Khaled berkata, Ma­lay­sia akan terus memperkukuh sa­­luran diplomasi pertahanan, ber­pegang teguh kepada prinsip berkecuali dan tidak berpihak ba­gi membolehkan negara me­nge­kalkan kedaulatan tanah air dalam se­barang situasi.

Katanya, pertahanan hari ini ti­dak boleh dirancang secara ber­sen­dirian, tetapi mesti dibangun­kan secara bersama.

“Kita juga akan mula melaksa­nakan Program Literasi Pertaha­nan, dengan kerjasama MiDAS dan Uni­versiti Pertahanan Nasional Ma­laysia (UPNM), untuk meningkatkan kefahaman masyarakat tentang soal pertahanan.

“Ia juga akan memberi nilai tam­bah kepada program-program se­perti Program Latihan Khidmat Ne­gara (PLKN) 3.0 dan program Pa­sukan Latihan Pegawai Simpa­nan (PALAPES),” katanya.

Beliau berkata, kementerian akan sentiasa meletakkan kesejahteraan anggota dan veteran ATM sebagai tonggak utama, ter­ma­suk memperkukuh pelbagai ini­sia­tif kepada mereka melalui PSPN.

“Dalam aspek perumahan, kita akan membina enam projek RKAT ba­haru dan terus menjalankan pe­nyenggaraan melibatkan 20,000 unit RKAT sedia ada.

“Dalam aspek kesihatan, kita akan membina dua poliklinik ATM ba­haru serta menaik taraf hos­pital angkatan tentera,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN