PHILADELPHIA – Gergasi Afrika, Ivory Coast menamatkan saingan Kumpulan E Piala Dunia 2026 sebagai naib juara selepas menewaskan Curacao 2-0 pada aksi yang berlangsung di Stadium Philadelphia awal pagi tadi.
Dua gol menerusi pemain sayap, Nicolas Pepe pada minit ketujuh dan 64 memastikan skuad kendalian Emerse Fae itu mengutip tiga mata berharga, sekali gus meneruskan kemaraan ke pusingan kalah mati.
Lebih manis, ia merupakan detik cukup bersejarah buat pasukan The Elephants kerana mereka berjaya melayakkan diri ke pusingan kedua Piala Dunia buat kali pertama dalam sejarah penganjuran.
Perlawanan itu meyaksikan Ivory Coast menampilkan aksi cukup dominan apabila menguasai 62 peratus permainan, namun Curacao dilihat lebih berbahaya di bahagian serangan menerusi 10 percubaan dilakukan.
Walaupun Curacao cuba untuk sekurang-kurangnya memburu satu jaringan, namun usaha mereka tidak membuahkan hasil apabila kedudukan 2-0 kekal sehingga tamat perlawanan.
Biarpun tidak mampu melakar kejutan, namun Curacao sudah berjaya menaikkan reputasi pasukan apabila mencatat keputusan seri tanpa jaringan ketika menentang Ecuador pada aksi kedua Kumpulan E sebelum ini. – AGENSI














