PETALING JAYA – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memperkukuhkan kerjasama pertahanan dan keselamatan kesihatan serantau menerusi penganjuran Sidang Kemuncak Indo-Pacific Health Alliance for Security (IPHAS) Ke-3 yang berlangsung di ibu negara.
Mengangkat tema “Civil-Military Collaboration for Whole-of-Society Resilience”, program berkenaan mengukuhkan sinergi antara ATM dengan agensi strategik negara termasuk Kementerian Kesihatan (KKM), Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).
Markas Angkatan Tentera dalam satu kenyataan berkata, persidangan antarabangsa yang berlangsung selama dua hari bermula Ahad lepas itu dihoskan bersama oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Kesihatan ATM, Command Surgeon U.S. Indo-Pacific Command (USINDOPACOM) dan Surgeon General Australian Defence Force (ADF).
Jelas kenyataan itu, tumpuan utama diterjemahkan menerusi perbincangan strategik mengenai ancaman Kimia, Biologi, Radiologi dan Nuklear atau Chemical, Biological, Radiological, and Nuclear (CBRN).
“Agenda kritikal ini dibincangkan secara mendalam bersama delegasi Amerika Syarikat yang diketuai oleh USINDOPACOM Command Surgeon, CAPT Roberts, berserta pakar daripada National Guard Bureau dan Washington National Guard.
“Melalui sidang kemuncak itu, peserta turut menggariskan usaha memperkukuh kapasiti pertahanan biologi serta meningkatkan kebolehoperasian pasukan keselamatan rentas sempadan bagi menghadapi ancaman kesihatan dan bencana yang semakin kompleks,” kata kenyataan itu.
Menurut Markas Angkatan Tentera, IPHAS yang ditubuhkan pada tahun 2022 kekal sebagai satu-satunya kerangka keselamatan kesihatan awam-tentera yang beroperasi merentas rantau Indo-Pasifik.
Sidang kemuncak tersebut turut menghimpunkan pemimpin ketenteraan, sektor awam serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari lebih 21 negara bagi membincangkan isu keselamatan kesihatan dan cabaran semasa di rantau Indo-Pasifik.
Sementara itu, Ketua Pengarah Perkhidmatan Kesihatan ATM, Leftenan Jeneral Datuk Dr. Zulkeffeli Mat Jusoh berkata, ancaman kesihatan kini menjadi salah satu komponen utama keselamatan negara yang mampu menjejaskan fungsi kritikal kerajaan, kestabilan negara serta kesejahteraan rakyat.
Menurut beliau, penganjuran IPHAS 2026 juga selaras dengan Perintah Ulung Panglima Angkatan Tentera Ke-24, Jeneral Tan Sri Malek Razak Sulaiman yang menekankan kepentingan diplomasi pertahanan dalam melindungi kedaulatan negara daripada ancaman dan krisis asimetrik. – KOSMO! ONLINE.














