fbpx
Gambar hiasan

Pertahanan negara tanggungjawab seluruh rakyat, bukan ATM sahaja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Pertahanan negara bukan lagi menjadi tanggungjawab Angkatan Tentera Malaysia (ATM) semata-mata, sebaliknya memerlukan penglibatan seluruh rakyat menerusi pengukuhan konsep Pertahanan Menyeluruh (HANRUH).

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, konsep itu terus diperkukuh sebagai teras pertahanan negara seperti yang digariskan dalam Kertas Putih Pertahanan (KPP) dan Pelan Strategik Pertahanan Negara.

Menurut beliau, kementerian sentiasa mengkaji amalan terbaik negara seperti Singapura, Finland, Switzerland, Taiwan dan beberapa negara lain, namun pendekatan Malaysia disesuaikan dengan keperluan strategik, sistem pentadbiran, kedudukan fiskal, geografi serta landskap keselamatan negara.

“Prinsip Malaysia sama seperti negara-negara tersebut, iaitu pertahanan negara bukan tanggungjawab Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sahaja, tetapi merupakan amanah seluruh negara.

“Ancaman keselamatan hari ini semakin kompleks dan datang dalam pelbagai bentuk. Justeru, pendekatan untuk menanganinya juga haruslah menyeluruh, bersepadu dan sentiasa adaptif.

“Bagi Malaysia, kekuatan negara bukan sahaja diukur melalui kesiapsiagaan ketenteraan, tetapi juga melalui kekuatan, perpaduan dan daya tahan rakyat,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Datuk Ahmad Ibrahim yang ingin mengetahui sama ada Kementerian Pertahanan bercadang memperkukuh pelaksanaan HANRUH dengan mengambil kira pengalaman Singapura, Finland, Switzerland dan Taiwan yang memberi penekanan kepada kesiapsiagaan seluruh negara menerusi penglibatan sektor awam, sektor swasta dan masyarakat.

Mohamed Khaled berkata, antara fokus utama kementerian ialah membudayakan konsep Whole-of-Government dan Whole-of-Society (WOGOS) dalam pertahanan negara menerusi kerjasama rentas kementerian, agensi kerajaan, sektor swasta, rakan korporat dan masyarakat.

Katanya, pendekatan itu telah mula dilaksanakan di Pulau Banggi dengan menggabungkan pelbagai agensi bagi memperkukuh keselamatan dan kesejahteraan komuniti tempatan, selain rakyat setempat turut berperanan sebagai mata dan telinga negara. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN