PETALING JAYA – Seorang pekerja p-hailing mendakwa MyKad miliknya telah dicuri beberapa minggu lalu, manakala wang bantuan MySara yang diterimanya dipercayai digunakan dua individu lain untuk membeli barangan.
Menerusi hantaran pengguna Thread Schah Iwan, dia berkongsi hantaran kehilangan MyKadnya pada 17 Jun lalu dengan memuat naik tangkap layar aplikasi MySara menunjukkan sebanyak RM35.75 wang bantuan digunakan individu terlibat di sebuah pasar raya di Setiawangsa.
Lelaki itu kemudian memuat naik rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) hari ini yang memperlihatkan dua individu iaitu seorang lelaki dan seorang wanita didakwa menggunakan kad pengenalannya bagi membeli barangan di pasar raya itu.
“Dah dapat dah video orang yang ambil kad pengenalan aku guna MySara aku. Pulangkan wei, tak ada hati perut ke? Ada sebab aku dapat MySara tu.
“Anak orang kurang upaya (OKU) seorang, anak sekolah, anak dekat universiti lagi kena tanggung. Aku kerja rider.
“Kalau malu nak hantar kat rumah aku, letak je kat Rosyam Mart Setiawangsa tempat korang ambil barang masa 12 Jun, 12.52 tengah malam tu. Susah aku nak buat kerja kad pengenalan tak ada. Kalau ada hati perut pulangkan,” katanya pada satu hantaran, hari ini.
Menjawab pertanyaan pengguna Thread lain, lelaki itu memaklumkan telah melaporkan kejadian itu kepada pihak polis.
Hantaran itu mendapat pelbagai maklum balas daripada orang ramai yang mengecam perbuatan dipercayai dilakukan individu tersebut.
“Awal-awal muda begini dah nak makan haram. Apa nak jadi dengan budak sekarang?,” komen Wishuvhere.
“Apa lah diorang fikir bila guna kad pengenalan orang ni pakai MySara orang. Mesti ingat tak boleh kesan kan? Zaman dah moden dah,” komen Umie kakijalan. – KOSMO! ONLINE
View on Threads














