MUAR – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mempertaruhkan gabungan calon berpengalaman dan muka baharu bagi mengharungi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 apabila mengumumkan akan bertanding di 16 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Pendekatan itu dilihat sebagai usaha parti berkenaan mengimbangi pengalaman pemimpin lama dengan suntikan tenaga generasi baharu bagi memperkukuhkan saingan pada pilihan raya kali ini.
Antara calon berprofil tinggi yang diumumkan ialah bekas Menteri Besar Johor, Sahruddin Jamal yang sekali lagi diberi kepercayaan mempertahankan kerusi DUN Bukit Kepong selepas memenangi kerusi itu pada PRN lalu.
Turut menjadi perhatian ialah pencalonan bekas Timbalan Speaker Dewan Rakyat dan bekas Ahli Parlimen Batu Pahat, Mohd Rashid Hasnon yang akan bertanding di DUN Senggarang.
Selain itu, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sedili, Rasman Ithnain kembali dicalonkan di kerusi DUN Sedili, sekali gus memperlihatkan keyakinan parti terhadap pengalaman dimiliki calon tersebut.
Dalam masa sama, Bersatu turut menampilkan muka baharu termasuk Ketua Armada Bersatu Johor, Mohamad Alias yang diberikan kepercayaan bertanding di DUN Panti.
Pencalonan Mohamad Alias yang juga anak kepada Rasman dilihat sebagai usaha parti memberi peluang kepada pemimpin pelapis untuk membawa pendekatan dan idea baharu dalam arena politik negeri.
Senarai calon itu diumumkan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam majlis pengumuman calon di Pejabat Bersatu Pagoh, di sini malam tadi.
Bersatu dilihat mengambil pendekatan menggabungkan pengalaman dan pembaharuan dalam usaha memperkukuhkan cabaran parti itu pada PRN Johor, kali ini.
Berikut senarai penuh 16 calon Bersatu bagi PRN Johor:
N.04: Kemelah – Uzzair Ismail
N.07: Bukit Kepong – Datuk Dr. Sahruddin Jamal
N.08: Bukit Pasir – Idzhar Nasirruddin
N.11: Serom – Mahfidz Omar
N.14: Bukit Naning – Mohd. Radzi Amin
N.20: Semarang – Syafiq Aziz
N.22: Parit Raja – Dr. Mohamed Maliki Mohamed Rapiee
N.24: Senggarang – Datuk Mohd Rashid Hasnin
N.25: Rengit – Syed Mohamad Syed Alwi
N.27: Layang-Layang – Abd Mutalip Abd Rahim
N.33: Tenggaroh – Muhamad Amerul Muhamad
N.34: Panti – Mohamad Alias Rasman
N.36: Sedili – Rasman Ithnain
N.37: Johor Lama – Aisah Esa
N.38: Penawar – Faizulnizar Rahmat
N.45: Stulang – Lim Chin Eng














