fbpx
Mohd. Azmawi (tiga dari kanan) meninjau kawasan projek jalan yang sedang dibina pihak kontraktor di Kuala Sungai, Gua Musang semalam.

Isu tanah jejas projek buat jalan RM40 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GUA MUSANG – Penduduk di empat kampung Mukim Kuala Sungai di sini menggesa pihak berwajib agar menyegerakan projek pembinaan jalan bernilai lebih RM40 juta di kawasan mereka yang dilihat tertangguh pembinaannya.

Seorang penduduk, Che Ab. Ghani Mat Zain, 60, berkata, kelewatan projek berkenaan telah menimbulkan masalah kepada penduduk terutama guru-guru yang berulang-alik untuk ke Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Sungai dan ibu bapa yang menghantar anak ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Paloh dan SMK Chiku.

Katanya, penduduk di mukim terbabit terpaksa berdepan de­ngan kesukaran untuk keluar dari perkampungan itu sudah lebih 60 tahun terutama pada musim tengkujuh kerana perlu menggunakan jalan ladang yang tidak berturap.

“Projek itu bermula pada Ja­nuari 2024, namun sehingga kini masih belum siap. Kadang-kadang kerja dibuat sebulan, kemudian berhenti sebulan. Jika tidak disegerakan, masalah akan jadi lebih serius.

“Kalau hujan dua jam sahaja, air akan bertakung sehingga paras dada. Penduduk akan terkandas termasuk guru yang hendak mengajar, ibu bapa hantar anak ke sekolah, malah ada yang sukar ke hospital ketika kecemasan,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Mohd. Azmawi Fikri Abdul Ghani berkata, projek jalan yang bermula dari Simpang Ladang Serasa sehingga ke Kampung Lulut membabitkan kos lebih RM40 juta de­ngan jarak 13.55 kilometer dan dijangka siap Mei tahun depan.

Katanya, beliau dimaklumkan kelewatan projek tersebut di­sebabkan oleh isu pengambilan tanah serta perubahan lukisan (drawing) projek.

“Kerja pembinaan telah bermula pada 4 Januari 2024 dan tarikh siap adalah pada 3 Januari 2026, namun disebabkan kelulusan Extension of Time, tarikh jangkaan siap kini pada 26 Mei 2027,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN