KUALA LUMPUR – Bekas Ahli Parlimen Kinabatangan Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan tiga pertuduhan rasuah membabitkan wang berjumlah RM2.8 juta yang dihadapi.
Ia berikutan apabila pihak pendakwaan tidak berhasrat untuk meneruskan kes terhadap Bung Moktar berikutan kematian bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lamag itu pada 5 Disember lalu.
Dalam prosiding sama, mahkamah turut dimaklumkan Jabatan Peguam Negara (AGC) menolak representasi yang dikemukakan balunya, Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad, untuk menggugurkan tiga tuduhan bersubahat melakukan rasuah berkenaan.
Justeru Hakim Rosli Ahmad menetapkan 5, 6 dan 12 Mac ini bagi sebutan dan perbicaraan kes bagi Zizie Izette.
Terdahulu Zizie Izette, 48, menghantar representasi pada 24 Disember lalu bagi memohon supaya tiga pertuduhan bersubahat itu digugurkan.
Zizie Izette kini menjalani tempoh iddah selepas suaminya meninggal dunia pada 5 Disember lalu di sebuah hospital swasta di Kota Kinabalu.
Mengikut pertuduhan pertama dan kedua Bung Moktar yang ketika itu Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra Berhad didakwa pada 3 Mei 2019 atas dua pertuduhan menerima rasuah RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan untuk mendapatkan kelulusan Felcra melabur RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.
Bung Moktar dituduh menerima rasuah daripada ejen pelaburan Public Mutual Berhad Madhi Abdul Hamid menerusi Zizie Izette, 46, di Public Bank Berhad Cawangan Taman Melawati di sini pada 12.30 tengah hari hingga 5 petang, 12 Jun 2015.
Pertuduhan ketiga, Bung Moktar turut dituduh secara rasuah memperoleh untuk dirinya suapan tunai RM337,500 daripada ejen pelaburan Public Mutual Berhad, Norhaili Ahmad Mokhtar melalui akaun Public Ittikal Sequel Fund (PITSEQ) yang didaftarkan atas nama Zizie Izette bagi tujuan sama pada 17 Jun 2015. – KOSMO! ONLINE














